Khamis, 12 March 2020 | 12:24pm
DONALD Trump menggantung perjalanan dari Eropah ke Amerika Syarikat (AS) selama 30 hari dalam usaha mengekang pandemik COVID-19 yang menjejaskan pasaran saham serta menular dengan pantas. - Foto AFP
DONALD Trump menggantung perjalanan dari Eropah ke Amerika Syarikat (AS) selama 30 hari dalam usaha mengekang pandemik COVID-19 yang menjejaskan pasaran saham serta menular dengan pantas. - Foto AFP

Perjalanan Eropah ke AS digantung 30 hari

WASHINGTON: Presiden Donald Trump semalam menggantung perjalanan dari Eropah ke Amerika Syarikat (AS) selama 30 hari dalam usaha ‘agresif’ untuk mengekang pandemik COVID-19 yang sedang menular dengan pantas dan menjejaskan pasaran saham.

Namun, Trump berkata, sekatan itu tidak termasuk pengembara dari United Kingdom (UK) yang keluar daripada Kesatuan Eropah (EU), baru-baru ini.

Dalam ucapan waktu perdana dari pejabatnya, Trump menolak kritikan bahawa kepimpinan beliau kurang bertindak ketika krisis itu melanda, sebaliknya menegaskan ‘virus berkenaan tidak akan ada peluang langsung’.

“Ini adalah usaha paling agresif dan komprehensif untuk menentang satu virus asing dalam sejarah moden,” katanya sambil menjelaskan sekatan perjalanan terbabit akan berkuat kuasa mulai tengah malam Jumaat.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Trump turut mengumumkan langkah bagi membantu meringankan beban kewangan dihadapi mereka yang tidak dapat bekerja kerana dikuarantin.

    Dalam pada itu, Trump membidas EU sebagai gagal mengambil langkah berjaga-jaga yang sama dan menyekat perjalanan dari China serta tempat terkesan lain, sebagaimana dilakukan AS sehingga menyaksikan penularan COVID-19 semakin meluas.

    “Akibatnya, sejumlah besar kluster baharu di AS adalah dibawa oleh pengembara dari Eropah,” katanya.

    Pemangku Timbalan Setiausaha Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Ken Cuccinelli, melalui ciapannya pula memberi jaminan kepada rakyat AS bahawa sekatan perjalanan dari Eropah itu tidak membabitkan ‘rakyat atau penduduk tetap yang sah atau keluarga mereka’.

    Setakat semalam, lebih 1,100 kes jangkitan disahkan di AS dengan 32 kematian, menurut satu penjumlahan oleh Universiti Johns Hopkins. - AFP

    Berita Harian X