Khamis, 20 Februari 2020 | 11:32am
Gambar fail, Duta Amerika Syarikat (AS) ke Jerman yang baharu, Richard Grenell. - Foto AFP
Gambar fail, Duta Amerika Syarikat (AS) ke Jerman yang baharu, Richard Grenell. - Foto AFP

Pegawai gay dilantik pemangku pengarah perisikan AS

BAKERSFIELD (CALIFORNIA): Presiden Donald Trump semalam menamakan Duta Amerika Syarikat (AS) ke Jerman, Richard Grenell yang juga penyokong kuat dasar beliau, sebagai pemangku pengarah perisikan kebangsaan.

“Rick telah mewakili negara kita dengan sangat baik dan saya berharap dapat bekerja dengan beliau,” tulis Trump dalam Twitter.

Trump sekali gus mengucapkan terima kasih kepada Joseph Maguire ‘atas tugasan yang dijalankan dengan baik’ ketika menjadi pemangku pengarah perisikan kebangsaan sejak Ogos tahun lalu.

Grenell yang memiliki reputasi kadang-kadang bersikap kasar, begitu setia kepada Trump ketika Presiden Republikan itu masih skeptikal mengenai komuniti perisikan berkenaan.

Trump mempunyai hubungan tegang dengan Dan Coats yang meletakkan jawatan sebagai pengarah perisikan kebangsaan pada Ogos tahun lalu.

Coats sebelum ini mengesahkan penilaian komuniti perisikan AS bahawa Russia campur tangan dalam pilihan raya presiden pada 2016 bagi mempromosikan Trump yang berdepan pesaing daripada Demokrat, Hillary Clinton.

Trump turut membantah analisis komuniti perisikan AS berhubung isu-isu utama - daripada program nuklear Iran kepada Korea Utara - yang bertentangan dengan penilaian beliau.

Grenell mengaku seorang gay secara terbuka, adalah penasihat kepada beberapa anggota Republikan terkenal sebelum berkhidmat sebagai jurucakap AS di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bawah pentadbiran George W Bush.

Beliau menimbulkan kontroversi sejak tiba di Jerman pada 2018, dengan gaya diplomasi tidak ortodoks yang mengejutkan ramai Ahli Parlimen dan pegawai kerajaan negara itu.

Seorang Ahli Parlimen Jerman memberitahu Reuters bulan ini, bahawa Grenell lebih berusaha menggembirakan Trump berbanding ambil berat mengenai pembinaan hubungan lebih erat dengan Jerman.

“Tindakan beliau mempunyai satu penonton: Presiden AS,” kata Ahli Parlimen itu.

Pada 2018, Jerman meminta penjelasan Kerajaan AS selepas Grenell memberitahu satu laman web haluan kanan bahawa beliau mahu memberikan kuasa kepada ‘konservatif lain’ di Eropah.

Grenell pernah dilaporkan berkata kepada agensi berita Jerman, dpa, bahawa keengganan negara itu untuk berbelanja lebih dalam bidang pertahanan serta kebergantungan berterusan pada tentera AS untuk perlindungan adalah ‘ofensif’.

Jawatan pengarah perisikan kebangsaan yang diwujudkan selepas kejadian serangan 11 September 2001, mengawasi 17 agensi perisikan awam serta tentera AS, termasuk CIA.

Pelantikan Grenell sebagai pemangku pengarah itu tidak memerlukan pengesahan Senat. - REUTERS

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X