Rabu, 19 Februari 2020 | 10:16am
Elon Musk pada sidang media semasa pelancaran misi SpaceX Crew Dragon di Kennedy Space Center, Florida. - Foto AFP
Elon Musk pada sidang media semasa pelancaran misi SpaceX Crew Dragon di Kennedy Space Center, Florida. - Foto AFP

SpaceX hasrat bawa 4 pelancong ke angkasa lepas

WASHINGTON: SpaceX mengumumkan kerjasama baharu Isnin lalu untuk menghantar empat pelancong lebih jauh ke orbit angkasa, berbanding yang pernah dilakukan sebelum ini, namun tidak memperincikan tarikh atau kos dikenakan.

Syarikat terbabit menandatangani perjanjian dengan Space Adventures berpangkalan di Washington dan bertindak sebagai perantara bagi menghantar lapan pelancong ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), menggunakan roket Soyuz milik Russia.

Antara individu pertama adalah Dennis Tito, yang membayar AS$20 juta (RM83 juta) untuk penginapan lapan hari di ISS pada 2001 manakala individu terakhir berbuat demikian adalah pengasas Cirque du Soleil, Guy Laliberte pada 2009.

Kesemua pelancong terbabit akan membawa bersama kapsul Crew Dragon SpaceX yang dibangunkan khas oleh Pengurusan Angkasa Lepas dan Aeronautik Nasional (NASA), serta dijangka membuat penerbangan sulung dalam beberapa bulan lagi.

Menurut kenyataan SpaceX, yang diasaskan jutawan Elon Musk, penerbangan pelancongan itu tidak akan membuat perjalanan sehingga ke ISS.

Presiden dan ketua pegawai operasi SpaceX, Gwynne Shotwell, berkata misi bersejarah itu akan merintis laluan dalam menjadikan penerbangan ke angkasa lepas bukan lagi sesuatu yang mustahil untuk semua orang.

“Kami berbesar hati mengumumkan kerjasama dengan pasukan Space Adventures LTD,” katanya.

Presiden Space Adventures Ltd, Eric Anderson, berkata tarikh dan tempoh misi setakat ini masih belum ditetapkan.

“Namun, ia berupaya mencapai jarak sehingga dua kali ganda lebih jauh berbanding misi yang pernah dilakukan angkasawan awam atau mana-mana pelawat sebelum ini,” katanya.

Orbit ISS berada pada altitud 400 kilometer (km) dan jarak terbabit jauh mengatasi perjalanan ditawarkan Virgin Galactic milik Richard Branson dan Blue Origin, kepunyaan Jeff Bezos, kepada pelanggan persendirian mereka. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X