Selasa, 18 Februari 2020 | 5:36pm
Pengakap Amerika (BSA) mengemukakan permohonan muflis hari ini dalam usahanya untuk menyelamatkan bayaran pampasan terhadap mangsa penderaan seksual. - Foto hiasan
Pengakap Amerika (BSA) mengemukakan permohonan muflis hari ini dalam usahanya untuk menyelamatkan bayaran pampasan terhadap mangsa penderaan seksual. - Foto hiasan

Mohon muflis selepas skandal penderaan seksual

WASHINGTON: Pengakap Amerika (BSA) mengemukakan permohonan muflis hari ini dalam usahanya untuk menyelamatkan bayaran pampasan terhadap mangsa penderaan seksual.

Pertubuhan itu sebelum ini didakwa menyembunyikan penderaan terhadap ribuan ahlinya dan gagal bertindak untuk menyingkirkan pedofilia yang menggunakan gerakan belia untuk mencari mangsa, dalam tempoh 110 tahun penubuhannya.

Permohonan muflis itu akan membantu BSA untuk membayar pampasan secara adil kepada mangsa dengan mewujudkan dana pampasan dan membolehkan pertubuhan terus beroperasi di peringkat tempatan, jelas badan itu dalam satu kenyataan.

“BSA mengambil berat terhadap semua mangsa penderaan dan dengan ikhlas memohon maaf kepada mana-mana pihak yang menjadi mangsa sepanjang terbabit dengan badan ini,” kata Ketua Eksekutif BSA, Roger Mosby dalam kenyataan itu.

Lebih 12,000 ahli BSA telah menjadi mangsa penderaan seksual sejak ia ditubuhkan pada 1944, kata peguam mangsa Jeff Anderson tahun lalu.

Beliau turut memaklumkan, fail yang dimiliki Pengakap Amerika menyenaraikan lebih 7,800 dakwaan pelaku penderaan seksual.

Kewujudan dokumen itu, yang menyenaraikan pemimpin pengakap yang didakwa terbabit dalam penderaan seksual, mula didedahkan pada 2012 dalam satu kes di mahkamah. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X