Selasa, 18 Februari 2020 | 10:11am
Pengasas Amazon, Jeff Bezos. - Foto Reuters
Pengasas Amazon, Jeff Bezos. - Foto Reuters

Bezos sumbang dana lebih RM40 bilion memerangi perubahan iklim

WASHINGTON: Individu terkaya di dunia, Jeff Bezos, memberi komitmen akan menyumbangkan AS$10 bilion (RM40.7 bilion) bagi menangani isu perubahan iklim.

Dalam pengumuman di laman Instagram beliau semalam, Bezos, peneraju dagangan dalam talian Amazon, berkata dana itu akan dinamakan ‘Bezos Earth Fund’.

Katanya, yayasan terbabit akan mengeluarkan geran mulai akhir tahun ini kepada saintis, aktivis masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan usaha memelihara dan melindungi alam sekitar.

“Perubahan iklim adalah ancaman terbesar kepada alam kita, saya mahu turut sama bagi menerokai kaedah baharu menangani kesan perubahan cuaca di bumi yang kita kongsi bersama,” katanya.

September lalu, Bezos berkata Amazon bertekad untuk menjadikan perniagaannya neutral karbon menjelang 2040.

Beliau turut berikrar bahawa syarikat itu akan menempah sebanyak 100,000 trak penghantaran elektrik sebagai langkah menangani isu perubahan iklim.

Penyaluran dana bagi tujuan melestarikan alam itu digambarkan sebagai komitmen derma terbesar pernah dilakukan oleh Bezos.

Walaupun menyalurkan sejumlah besar wangnya, Bezos masih kekal di tangga pertama individu terkaya di dunia, menurut akhbar The York Times.

Untuk rekod, Amazon sebelum ini menerima kritikan banyak pihak kerana transaksi perniagaannya menyediakan penghantaran bungkusan barang terus ke rumah, yang menghasilkan timbunan sampah.

Selain itu, syarikatnya juga turut dikecam kerana merekodkan kadar pelepasan gas rumah hijau yang tinggi berikutan penggunaan kenderaan dalam skala besar. -AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X