Isnin, 17 Februari 2020 | 2:42pm

Pekan kecil cipta salami pecah rekod dunia

TANDIL (ARGENTINA): Sebuah pekan kecil di Argentina berjaya memecah rekod dunia untuk sosej salami terpanjang, malah mencipta kejutan apabila saiznya turut mengatasi mercu tanda Statue of Liberty.

Pekan Tandil itu mencipta kejutan apabila mencipta salami sepanjang 99.5 meter, mengatasi Statue of Liberty yang berdiri pada ketinggian 93 meter di New York Harbour.

Salami berkenaan yang memiliki berat 278 kilogram itu kemudian dipertontonkan kepada orang ramai.

Mereka turut diberi peluang menikmati hidangan berkenaan yang dibuat khusus sempena festival kulinari Sierra, kali ke-37.

Penyediaan sosej terbabit ternyata bukan calang-calang kerana menurut penganjur, Mariano Firas, ia mengambil masa selama 36 hari dengan bantuan 100 tenaga kerja.

“Anda perlu berhati-hati dan bekerja bersama sekumpulan individu yang memiliki kepakaran serta pengalaman.

“Kesemua 100 petugas ini perlu saling berhubung antara satu sama lain kerana sebarang kesilapan, khususnya lipatan pada salami boleh mewujudkan tekanan berbeza pada bahagian hujung dan menyebabkan ia pecah,” katanya.

Ini bukan kali pertama penganjur menampilkan keupayaan hebat mereka.

Mereka sebelum ini memecahkan rekod milik sendiri menerusi acara sama pada 2019.

Salami ciptaan mereka ketika itu berukuran 87.56 meter panjang dan memiliki berat 262 kilogram. - Agensi

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X