Isnin, 17 Februari 2020 | 11:15am

Diserang pneumonia, Elton John terpaksa singkatkan konsert di Auckland

WELLINGTON: Bintang pop legenda Britain, Elton John dengan nada sebak meminta maaf kepada peminat setianya yang hadir di Mount Smart Stadium, di Auckland, New Zealand, malam tadi berikutan terpaksa menamatkan konsertnya lebih awal kerana berdepan masalah kesihatan.

Penyanyi berusia 72 tahun yang dalam rangka konsert jelajah dunia itu dilihat sukar untuk meneruskan nyanyian ketika duduk bersama sebuah piano pada persembahan berkenaan.

Bagaimanapun, selepas pemeriksaan oleh pegawai perubatan, Elton sempat meneruskan nyanyiannya dengan menyampaikan dua lagu sebelum menamatkan keseluruhan konsert.

“Saya tidak boleh menyanyi kerana hilang suara.

“Saya perlu pergi, minta maaf,” katanya dalam nada yang tersekat-sekat.

Elton kemudian dilihat melangkah keluar dari stadium sambil dibantu oleh kru yang bertugas.

Menurut Elton, dia yang disahkan mengalami pneumonia ringan, awal pagi semalam tetap membulatkan tekad untuk meneruskan persembahan pada konsert berkenaan.

“Saya bermain piano dan menyanyi dengan sepenuh hati sehingga tidak mampu meneruskannya lagi.

“Saya sangat kecewa dan meminta maaf kepada semua penonton yang hadir,” katanya.

Konsert berkenaan adalah sebahagian daripada jelajah dunianya ‘Road Brick Yellow Brick’ yang bermula pada 2018 dan dijadualkan berakhir pada tahun ini di London.

Penyanyi kelahiran England itu berada di New Zealand bagi jelajah dunianya iaitu ‘Road Brick Yellow Brick’ yang bermula pada 2018 dan dijadualkan berakhir pada 2020 di London.

Pernah beraksi dalam ratusan konsert di seluruh dunia, siri jelajah berkenaan dikaitkan sebagai peluang terakhir untuk melihat aksinya sebelum bersara daripada dunia hiburan.

Dalam perkembangan lain, berita mengenai serangan pneumonia yang menyerang Elton turut menjadi tumpuan dunia.

Ini berikutan pneumonia adalah antara simptom wabak COVID-19. Apatah lagi ketika ini seluruh dunia mengambil langkah berwaspada berikutan virus berkenaan menyebabkan 70,000 dijangkiti dengan 1,770 direkodkan meninggal dunia di China.

Setakat ini, belum ada kes COVID-19 yang direkodkan berlaku di New Zealand. - AFP

Berita Harian X