Ahad, 16 Februari 2020 | 4:23pm
Kumpulan ular air Florida mengawan
Kumpulan ular air Florida mengawan

'Pesta mengawan' ular memaksa penutupan taman rekreasi

WASHINGTON: Sebahagian taman rekreasi di Florida terpaksa ditutup selepas penduduk tempatan terjumpa puluhan ular berkumpul sempena musim mengawan tahunan reptelia itu.

Jabatan Taman dan Rekreasi Lakeland, dalam paparan di laman Facebook mereka yang turut dimuat naik gambar kumpulan ular berkenaan di Tasik Hollingsworth, Orlando, berkata haiwan berkenaan sedia bersedia untuk mengawan.

Khamis lalu, pihak berkuasa menutup kawasan di mana ular berkenaan ditemui untuk keselamatan orang ramai dan haiwan itu sendiri.

“Ular jenis ini tidak berbisa dan tidak agresif selagi tidak diganggu sesiapa, apabila selesai mengawan, ia akan bersurai.

“Ular ini adalah daripada spesies ular air Florida dan habitat mereka adalah di dahan pokok berhampiran sumber air serta boleh juga ditemui di kawasan tebing sungai atau tasik.

“Ia adalah elemen penting dalam ekosistem dan tidak patut diganggu,” katanya.

Penduduk tempatan, Tim Newberry, yang memuat naik gambar ular terbabit di laman sosial sehingga sampai ke pengetahuan pihak berkuasa, berkata beliau melihat sekurang-kurangnya 25 ekor ular pada hari berkenaan. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X