Ahad, 16 Februari 2020 | 8:07am
PENDAKWA Daerah Manhattan, Cyrus Vance (kanan) dan ketua polis New York, Dermot Shea (tengah) pada sidang akhbar di New York. - Foto AFP
PENDAKWA Daerah Manhattan, Cyrus Vance (kanan) dan ketua polis New York, Dermot Shea (tengah) pada sidang akhbar di New York. - Foto AFP

Remaja 14 tahun didakwa tikam penuntut universiti hingga mati

NEW YORK: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun ditahan dan didakwa menikam sehingga mati seorang penuntut universiti New York, kata pihak berkuasa, Sabtu dalam kes yang dianggap berkait rapat dengan isu perkauman.

Tessa Majors, 18 seorang penuntut baru di Kolej Barnard, diserang tiga remaja ketika sedang berjalan di Morningside Park pada 1 Disember lalu.

Taman itu memisahkan Kolej Barnard dan Universiti Columbia dari Harlem, iaitu kawasan di barat laut Manhattan, yang majoriti penduduknya terdiri daripada masyarakat kulit hitam.

Majors, seorang remaja berkulit putih ditemui berlumuran darah di luar taman akibat ditikam beberapa kali di bahagian dada, dan meninggal dunia ketika dalam rawatan di hospital.

Rashaun Weaver, 14, seorang remaja berkulit hitam dituduh menikam Majors.

Dia berada dalam senarai dikehendaki buat beberapa minggu dan ditahan tanpa sebarang insiden, malam Jumaat lalu.

Pendakwa Daerah Manhattan, Cyrus Vance berkata, Weaver akan dibicarakan sebagai pesalah dewasa atas tuduhan membunuh darjah kedua dan rompakan.

“Kami yakin sudah berjaya menahan seorang suspek dan dia akan dihadapkan ke muka pengadilan,” kata ketua polis New York, Dermot Shea pada sidang akhbar.

Menurut Vance, penyiasat memiliki video dan bukti DNA yang menunjukkan suspek bersalah melakukan jenayah berkenaan menerusi satu rakaman audio.

Seorang rakan subahat berusia 13 tahun turut didakwa, tetapi akan dibicarakan sebagai pesalah juvana.

Insiden itu mengimbas kembali kes ‘Central Park Five’ pada 1989, apabila lima remaja kulit hitam dan Hispanik secara tidak adil dijatuhkan hukuman penjara, selepas disabitkan dengan kesalahan menyerang serta merogol seorang wanita yang sedang berjoging. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X