Rabu, 12 Februari 2020 | 8:34am
Matias Salazar, 56, juga dituduh melakukan jenayah termasuk keganasan psikologi dan keganasan seksual serta menjadikan hamba seks wanita. - Foto cronica.uno
Matias Salazar, 56, juga dituduh melakukan jenayah termasuk keganasan psikologi dan keganasan seksual serta menjadikan hamba seks wanita. - Foto cronica.uno

Didakwa kurung wanita 31 tahun untuk jadi hamba seks

MARACAY: Pendakwa raya Venezuela semalam mendakwa seorang lelaki atas tuduhan menjadikan seorang wanita yang ditawannya selama 31 tahun di sebuah apartmen sebagai hamba seks, kes yang mengejutkan penduduk kota Maracay dekat ibu kota Caracas.

Matias Salazar, 56, juga dituduh melakukan jenayah termasuk keganasan psikologi dan keganasan seksual serta menjadikan hamba seks wanita berusia 49 tahun yang hanya dikenali sebagai Morella, kata pendakwa raya dalam satu kenyataan.

Dia (Morella) dimanipulasi dan ditipu supaya meninggalkan rumahnya tiga dekad lalu, kata pendakwa raya, sambil menambah bahawa Salazar ditangkap di Maracay dan sedang ditahan di sebuah balai polis.

Salazar hidup selama bertahun-tahun dengan seorang wanita dan anak perempuannya di sebuah apartmen di seberang jalan tempat Morella dikurung, menurut wawancara Reuters dengan 10 penduduk dari kedua-dua bangunan itu.

Beberapa penduduk berkata, mereka tidak menyedari apa-apa yang luar biasa dan Salazar sentiasa ramah dengan mereka, meminta supaya identiti tidak didedahkan kerana takut mereka akan dituduh terbabit.

Peguam Salazar, Jose Briceno dalam satu sidang akhbar Isnin lalu berkata, pelanggannya tidak bersalah dan menjadi mangsa kempen media, menurut siaran internet yang menyiarkan kenyataannya.

Morella pada 24 Januari lalu melarikan diri dari bangunan apartmen itu dan meminta pertolongan di sebuah cawangan agensi advokasi wanita yang dikendalikan oleh kerajaan, kata pendakwa raya.

Kes itu mula-mula dibawa ke perhatian umum pada 5 Februari apabila ia diterbitkan oleh portal berita dalam talian Venezuela Cronica Uno.

Menurut jiran-jiran, Morella kemudiannya kembali ke apartmen terbabit ditemani oleh pendakwa.

“Dia memiliki tiga pasang pakaian di dalam apartmen itu, beberapa kasut lama, katil kembar di atas lantai, sebuah kipas lama, TV lama," kata seorang jiran yang memasuki apartmen berkenaan dengan Morella dan pendakwa raya, dan bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan. - REUTERS

Berita Harian X