Jumaat, 31 Januari 2020 | 8:41am
Pelan Asia Barat Presiden Donald Trump akan melanggar undang-undang antarabangsa. - Foto AFP
Pelan Asia Barat Presiden Donald Trump akan melanggar undang-undang antarabangsa. - Foto AFP

Pelan Asia Barat Trump langgar undang-undang antarabangsa - Carter

WASHINGTON: Jimmy Carter semalam mengatakan bahawa pelan Asia Barat Presiden Donald Trump akan melanggar undang-undang antarabangsa dan menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghalang Israel daripada meluaskan jajahan tanah Palestin.

"Rancangan Amerika Syarikat (AS) yang baharu menghalang prospek untuk pelan damai antara Israel dan Palestin," kata bekas presiden AS itu dalam satu kenyataan.

"Sekiranya dilaksanakan, rancangan itu akan menghancurkan satu-satunya penyelesaian yang berdaya maju untuk konflik jangka panjang itu, penyelesaian untuk kedua-dua negara," kata Carter, yang memimpin Perjanjian Camp David 1978, yang membawa keamanan antara Israel dan Mesir.

Beliau menggesa negara-negara anggota PBB supaya "mematuhi resolusi Majlis Keselamatan PBB dan menolak sebarang cadangan pelaksanaan yang hanya menyebelahi pihak Israel dengan merampas lebih banyak tanah Palestin."

Pejabatnya dalam satu kenyataan berkata, rancangan Trump, yang diumumkan Selasa lalu, "melanggar undang-undang antarabangsa mengenai penentuan nasib sendiri, pengambilalihan tanah secara kekerasan, dan pengambilan wilayah yang diduduki."

"Dengan memanggil Israel ‘negara bangsa Yahudi’, rancangan itu juga menggalakkan penafian hak yang sama kepada rakyat Palestin Israel," katanya.

Trump membentangkan rancangannya yang lama ditunggu-tunggu pada Selasa lalu bersama sekutu rapatnya Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang tidak lama kemudian memberi isyarat bahawa beliau akan berusaha untuk merampas sebahagian besar Tebing Barat.

Pelan dicadangkan oleh Trump mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas kebanyakan penempatan di Tebing Barat dan Lembah Jordan, serta Baitulmaqdis yang tidak dipisahkan.

Pelan itu juga menyokong negara Palestin dengan ibu negara di pinggir Baitulmaqdis, tetapi berkata kepimpinan Palestin mesti mengiktiraf Israel sebagai tanah air Yahudi dan bersetuju terhadap negara bukan ketenteraan.

Carter, 95, presiden paling lama dalam sejarah Amerika Syarikat, sering kali mengeluarkan kenyataan sejak kalah pada pemilihan tahun 1980 dan telah memenangi Hadiah Keamanan Nobel bagi usaha kemanusiaannya.

Sejak kebelakangan ini, beliau sering berdepan kritikan daripada penyokong pro-Israel terhadap pandangannya mengenai konflik, terutama penggunaan perkataan "apartheid" untuk menggambarkan masa depan potensi negara Yahudi tanpa perjanjian damai. - AFP

Berita Harian X