Selasa, 14 Januari 2020 | 7:55am
Bungkusan kokain dirampas di ibu negara Brazil. - Foto sudinfo.be
Bungkusan kokain dirampas di ibu negara Brazil. - Foto sudinfo.be

Polis Brazil rampas 1.1 tan kokain

BRASILIA : Polis pengangkutan Brazil berjaya merampas sejumlah 1.1 tan kokain daripada sebuah trak di ibu negara Brasilia, sekali gus mencatat rekod rampasan terbesar di rantau itu.

“Polis membuka tangki yang sepatutnya digunakan bagi mengangkut minyak sayuran dan menemui 1,100 pil dengan berat kira-kira sekilogram setiap satu, mengandungi bahan menyamai kokain,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan, semalam.

Pemandu trak berkenaan juga menimbulkan rasa curiga apabila dilihat berada dalam keadaan resah ketika dihampiri polis lewat Ahad, berhampiran pekan Cristalina, kira-kira 130 kilometer dari Brasilia.

Pemandu terbabit mendakwa, dia meninggalkan negeri Sao Paulo di bahagian tenggara negara dan menuju ke negeri Bahia di timur laut Brazil.

Kedua-dua negeri berkenaan terletak di bahagian pantai manakala Brasilia berada hampir 1,0000 kilometer dari situ.

Menurut statistik awal yang diperoleh stesen televisyen Globonews, kastam Brazil merampas lebih 57 tan kokain pada 2019, iaitu rekod terbesar dan peningkatan sebanyak 82 peratus berbanding perangkaan pada 2018.

Rampasan terbesar dilakukan di pelabuhan Santos di negeri Sao Paulo, iaitu pimtu keluar untuk semua dadah yang akan dihantar ke Eropah dan Afrika. - AFP

Berita Harian X