Selasa, 7 Januari 2020 | 8:46am
SETIAUSAHA Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Mark Esper. - Foto Reuters
SETIAUSAHA Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Mark Esper. - Foto Reuters

Kami akan patuhi undang-undang konflik bersenjata - Setiausaha Pertahanan AS

WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Mark Esper, menegaskan tentera negara itu tidak akan melanggar undang-undang konflik bersenjata dengan menyerang lokasi kebudayaan Iran, langkah yang diancam oleh Presiden Donald Trump.

Ketika ditanya sama ada beliau sanggup menyasarkan lokasi kebudayaan, Esper memberitahu pemberita Pentagon: “Kami akan mematuhi undang-undang konflik bersenjata.”

Ditanya lanjut sama ada beliau tidak akan menyasarkan lokasi sedemikian pula, kerana ia akan menjadi jenayah perang, Esper berkata: “Itulah undang-undang konflik bersenjata.” Beliau tidak menjelaskan lebih lanjut.

Menyasarkan lokasi kebudayaan dengan tindakan ketenteraan adalah satu jenayah perang bawah undang-undang antarabangsa, termasuk resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disokong oleh pentadbiran Trump pada 2017 dan Konvensyen Hague 1954 untuk Perlindungan Harta Kebudayaan.

Jumaat lalu, serangan dron AS membunuh komander tentera Iran, Qasem Soleimani, sekali gus melonjakkan ketegangan dengan Iran dan meningkatkan kebimbangan tercetus konflik besar.

Washington mendakwa Soleimani dibunuh sebagai langkah pertahanan diri susulan rancangannya untuk menyerang personel dan kepentingan AS.

Ketika Iran mengancam untuk membalas pembunuhan Soleimani, Trump melalui ciapan Twitter memberi amaran bahawa AS menyasarkan 52 lokasi di Iran, sesetengahnya ‘amat penting kepada Iran dan budaya negara itu’, jika Iran menyerang mana-mana rakyat atau aset AS.

“Mereka dibenar menggunakan bom tepi jalan serta mengorbankan rakyat kita, dan kita tidak dibenarkan untuk menyentuh lokasi kebudayaan mereka? Ia tidak berfungsi seperti itu,” kata Trump kepada pemberita pada Ahad. - Reuters

Berita Harian X