Ahad, 5 Januari 2020 | 1:05pm
Imej di atas muncul di fdlp.gov pada hari Sabtu sebelum laman web dikeluarkan dari talian.
Imej di atas muncul di fdlp.gov pada hari Sabtu sebelum laman web dikeluarkan dari talian.

'Penggodam Iran' dakwa serang laman sesawang AS

WASHINGTON: Kumpulan yang mendakwa penggodam dari Iran menyerang laman sesawang agensi kerajaan Amerika Syarikat (AS) dengan memuat naik mesej mahu membalas dendam atas kematian Panglima tentera Iran, Qasem Soleimani, semalam.

Laman sesawang Program Perpustakaan Depositori Persekutuan digantikan dengan 'Penggodam Iran!' yang memaparkan imej pemimpin Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan bendera Iran.

Soleimani, 62, yang mengetuai sayap luar negara Pengawal Revolusi, dianggap sebagai tokoh kedua paling berpengaruh selepas Khamenei.

"Kesyahidan (Soleimani)... adalah ganjaran berpanjangan untuk tindakan tanpa belas kasihan," antara kenyataan diletakkan pada gambar wajah Presiden AS, Donald Trump.

"Pemergiannya dan dengan kuasa tuhan, legasinya tidak akan padam manakala balasan menunggu penjenayah yang mencemarkan tangan mereka dengan darah syuhada. Ini hanyalah sebahagian kecil kebolehan siber dari Iran!" katanya.

Soleimani terbunuh dalam serangan tengah malam di Iraq yang diluluskan Presiden Donald Trump Jumaat lalu.

AS cuba menghalalkan pembunuhan Soleimani di bawah Artikel 51 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang meliputi hak individu atau kolektif untuk mempertahankan diri daripada serangan bersenjata.

Menurut Artikel 51, negara perlu segera melaporkan kepada Majlis Keselamatan yang mengandungi 15 negara anggota mengenai sebarang langkah yang diambil dalam melaksanakan hak mempertahankan diri.

Trump sebelum ini mendakwa Soleimani merancang untuk menyerang aset dan warga AS di Baghdad.

Presiden AS itu turut memberi amaran sudah menyasarkan 52 lokasi serangan balas sekiranya Iran menyerang negara itu. - AFP

Berita Harian X