Sabtu, 28 Disember 2019 | 10:25am
WABAK cacar air memaksa penutupan sementara sebuah pusat perlindungan menempatkan pendatang Amerika Tengah yang dihantar ke Mexico dari Amerika Syarikat (AS). - Reuters
WABAK cacar air memaksa penutupan sementara sebuah pusat perlindungan menempatkan pendatang Amerika Tengah yang dihantar ke Mexico dari Amerika Syarikat (AS). - Reuters

Wabak cacar air paksa penempatan pelarian Mexico, ditutup

CIUDAD JUAREZ: Wabak cacar air memaksa penutupan sementara sebuah pusat perlindungan menempatkan pendatang Amerika Tengah yang dihantar ke Mexico dari Amerika Syarikat (AS), kata pihak berkuasa negara itu semalam, ketika mereka berusaha membendung penyakit mudah berjangkit itu.

Pusat perlindungan di bandar utara di sini, merentasi sempadan dari El Paso, Texas, ditutup kelmarin selepas 72 orang termasuk 69 kanak-kanak dijangkiti virus itu, kata pihak berkuasa di negeri Chihuahua, Mexico dalam satu kenyataan.

Kebanyakan mereka yang dijangkiti cacar air tidak sihat dengan gejala termasuk ruam gatal dan berair, demam, sakit kepala dan keletihan namun sesetengah menunjukkan keadaan lebih serius.

Kemudahan di sini, menempatkan hampir 800 pendatang yang menunggu tarikh kehadiran di mahkamah AS, adalah sebahagian rangkaian perlindungan di Mexico di mana pentadbiran Presiden Donald Trump menggunakannya untuk menguatkuasakan dasar menghantar majoriti pendatang Amerika Tengah ke selatan sempadan sementara kes permohonan suaka mereka ditangguhkan.

Penempatan itu, dikendalikan kerajaan pusat Mexico, enggan mengulas.

Seorang pegawai persekutuan berkata, virus itu disebarkan seorang gadis Honduras yang dihantar ke Mexico oleh pegawai AS mengikut dasar Protokol Perlindungan Pendatang Washington (MPP), lapor akhbar El Diario. -Reuters

Berita Harian X