Selasa, 5 November 2019 | 1:14pm
Boeing berjaya menguji kapsul kru Starliner untuk membawa angkasawan Amerika Syarikat ke Stesen Angkasa Antarabangsa. - Foto AFP

Kapsul kru angkasa Boeing, berdepan masalah payung terjun

WASHINGTON: Boeing berjaya menguji kapsul kru Starliner untuk membawa angkasawan Amerika Syarikat (AS) ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) walaupun satu daripada tiga payung terjun utama yang direka untuk memudahkannya kembali ke bumi gagal berfungsi.

Ujian itu berlangsung di White Sands Missile Range di gurun New Mexico selama 95 saat.

Ketika ujian, Starliner diletakkan pada pad pelancar kecil dengan empat enjin sebagai simulasi keselamatan untuk membawa angkasawan kembali ke bumi dengan selamat.

Bagaimanapun, selepas 20 saat enjin dihidupkan hanya dua daripada tiga payung terjun utama berfungsi sepenuhnya.

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) dalam satu kenyataan berkata, dua daripada tiga payung terjun sudah cukup untuk melepasi parameter ujian dan keselamatan kru.

Namun, kenyataan berbeza dikeluarkan Boeing yang mendakwa berlakunya ‘kejanggalan pelepasan’, bukan kegagalan payung terjun ketika ujian berlangsung.

Dalam industri aeroangkasa, kejanggalan adalah bahasa kiasan untuk insiden, walaupun ia membabitkan kemalangan serius.

“Masih terlalu awal untuk memastikan mengapa satu daripada tiga payung terjun utama tidak berfungsi seperti sepatutnya,” kata Boeing.

Selain Boeing, SpaceX adalah antara syarikat yang dipilih NASA untuk membina kapal angkasa bagi membawa angkasawan ke ISS.

Sejak berakhirnya program US Space Shuttle pada 2011, hanya sistem Soyuz milik Russia yang mempunyai kapasiti untuk berlepas dari Bumi ke ISS. - AFP

Berita Harian X