Rabu, 23 Oktober 2019 | 9:57am
PELAKON, Lori Loughlin. - Foto AFP

Pelakon Lori Loughlin berhadapan tuduhan baharu

NEW YORK: Pelakon Lori Loughlin berhadapan tuduhan tambahan berkaitan skandal kemasukan kolej di Amerika Syarikat semalam, meningkatkan kemungkinan beliau dihukum penjara.

Bintang siri komedi popular 1980-an hingga 1990-an, ‘Full House’ itu, suami dan sembilan lagi kini berhadapan tuduhan bersubahat melakukan program rasuah persekutuan selain tuduhan terdahulu, kata pendakwa raya.

Loughlin dan pereka Mossimo Giannulli dituduh memberi rasuah AS$500,000 (RM2.05 juta) supaya anak perempuan mereka dapat memasuki universiti berprestij di California.

Pendakwa berkata, mereka membayar wang itu pada 2016 dan 2017 supaya dua gadis berkenaan dapat memasuki Universiti of Southern California (USC) dengan menyamar sebagai anggota pasukan mendayung.

Mereka menafikan bersubahat melakukan penipuan dan pengubahan wang, tuduhan yang membawa hukuman lebih 20 tahun penjara.

Jika disabitkan, tuduhan tambahan yang dikenakan semalam akan menyaksikan mereka mendapat hukuman lebih ringan.

Kadang-kadang pendakwa raya menambah tuduhan untuk menekan defendan menukar pengakuan mereka.

Peguam Negara bagi Massachusetts, Andrew Lelling, berkata pendakwaan baharu akan meningkatkan usaha pendakwa raya memastikan defendan bertanggungjawab sepenuhnya.

Dalang di sebalik penipuan kemasukan kolej itu, William ‘Rick’ Singer, yang dikatakan pihak berkuasa membayar rasuah AS$25 juta (RM104 juta) kepada jurulatih dan pentadbir universiti, mengaku bersalah dan bekerjasama dengan pihak berkuasa. - AFP

Berita Harian X