Rabu, 23 Oktober 2019 | 9:55am

Mexico tangkap 31 anggota kartel, serbu makmal dadah

MEXICO CITY: Pasukan keselamatan menangkap 31 suspek anggota kartel dalam serbuan di terowong rahsia dan makmal dadah di ibu kota Mexico semalam.

Pegawai kerajaan berkata, puluhan anggota polis dan pasukan keselamatan menyerbu bangunan di tengah Tepito di Mexico City, yang sudah lama diketahui dengan aktiviti terlarang.

Video di Twitter mengenai serbuan menunjukkan anggota tentera berpakaian perang membawa raifal selain kereta perisai dan trak polis menghalang persimpangan dan lebuh raya sebelum subuh.

Setiausaha Keselamatan Awam Mexico City, Omar Garcia, berkata dua makmal digunakan untuk menghasilkan dadah sintetik dan 50 kilogram bahan kimia dirampas dalam serbuan itu.

Lebih dua tan ganja dan 20 kilogram kokain juga dirampas, katanya, selain wang tidak diketahui jumlahnya dan senjata termasuk pelancar roket dan bom tangan.

Bercakap pada sidang akhbar, Garcia berkata serbuan membawa kepada penangkapan 31 anggota kartel Union, yang sudah sekian lama beroperasi di Tepito.

“Kementerian menyedari pertembungan antara kumpulan penjenayah dan pihak berkuasa dari Mexico City.

“Keputusan dibuat untuk bertindak pantas,” kata Garcia tanpa mengulas lanjut.

Serbuan dibuat ketika kerajaan berhadapan kritikal selepas penularan tindakan ganas berturut-turut minggu lalu.

Ia termasuk serangan penyerang bersenjata kartel ketika cubaan menangkap anak lelaki raja dadah dan pertempuran yang meragut 13 nyawa pegawai polis. — Reuters

Berita Harian X