Selasa, 22 Oktober 2019 | 12:56pm
Penyokong Liberal memberi reaksi gembira terhadap keputusan awal pilihan raya di Montreal, Kanada, semalam. -Foto AFP

Trudeau bakal bentuk kerajaan minoriti

OTTAWA: Parti Liberal pimpinan Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau kekal berkuasa dalam pilihan raya sengit semalam untuk membentuk kerajaan minoriti.

Keputusan rasmi Elections Canada menunjukkan Liberal menang atau mendahului dengan 156 daripada 338 daerah pengundian berbanding 121 untuk calon lawannya Andrew Scheer daripada Konservatif selepas stesen pengundian di enam zon masa ditutup.

Keputusan itu meletakkan Liberal tidak mencapai 170 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan majoriti bagi penggal kedua berturut-turut.

Seawal hari ini, Trudeau perlu membentuk pakatan atau gabungan rasmi dengan satu atau lebih parti kecil untuk memerintah.

Ujian pertama kerajaan akan datang beliau diikuti beberapa minggu ucapan di Parlimen untuk menggariskan keutamaan perundangan serta undi keyakinan pentadbirannya.

Bekas guru sekolah berusia 47 tahun itu menguasai politik Kanada dalam tempoh empat tahun penggal pertamanya, namun berdepan saat getir ketika kempen pilihan raya 40 hari yang disifatkan paling teruk dalam sejarah Kanada.


Trudeau dan isterinya, Sophie Gregoire Trudeau serta anak mereka Xavier, Hadrien serta Ella-Grace menonton keputusan awal pilihan raya di Montreal, Kanada, semalam. -Foto Reuters

Imej budak baik dirosakkan dengan cara beliau menguruskan pendakwaan rasuah gergasi kejuruteraan SNC-Lavalin dan pada masa sama gambar lama Trudeau dengan mekap berwajah hitam menggegarkan kempennya.

Sementara itu, Scheer, yang baharu dua tahun mengemudi kemenangan partinya bergelut menawan rakyat Kanada dengan gaya bersahaja memandu van mini dan mengingatkan dasar masa lampau berjimat cermat kerajaan.

Parti Konservatifnya mendapat perhatian dalam kalangan parti lain yang berikrar mengembalikan bajet seimbang dalam tempoh lima tahun.

Golongan demokrat sosial dan pemisah Quebec mengambil sedikit sokongan daripada Liberal. Ini terbukti apabila Bloc Quebecois muncul daripada keputusan buruk pilihan raya 2015 dengan memperoleh 32 kerusi sementara Parti Demokratik Baharu (NDP) menang 25 kerusi, menurut ramalan.

“Trudeau benar-benar kehilangan tarikan. Ia agak menjejaskan,” ulas Lois Welsh, 77, kecewa dengan kemenangan Liberal.

Michel Mercer di Montreal berkata, beliau mengundi untuk Liberal hanya untuk mengelak melihat Konservatif daripada berkuasa.

“Saya mahu mengundi NDP namun saya tidak mahu melihat Konservatif berkuasa,” katanya.

Kira-kira 27.4 juta rakyat Kanada layak mengundi dan kehadiran besar dijangka namun ia hanya dapat disahkan hari ini.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengucapkan tahniah kepada Trudeau awal hari ini selepas mengekalkan kemenangan Perdana Menteri Kanada itu.

“Tahniah kepada Justin Trudeau terhadap kejayaan hebat dan sukar. Saya berharap untuk bekerja sama dengan anda untuk kebaikan kedua-dua negara!” kata Trump di Twitter. -AFP/Reuters

Berita Harian X