Selasa, 22 Oktober 2019 | 8:37am
Facebook berkata, ia menawarkan perlindungan baharu untuk akaun calon politik, memantau godaman atau digodam selain menggariskan langkah melindungi ‘penindasan pengundi’ termasuk sebarang usaha mengelirukan orang ramai mengenai di mana atau bila mengundi. -Foto Agensi

Facebook tingkat keselamatan, sekat campur tangan Russia sebelum pemilihan 2020

SAN FRANCISCO: Facebook berkata semalam, ia mengetatkan kawalan keselamatan untuk Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2020, di tengah tanda aktiviti baharu dari Russia menyerang calon presiden Demokrat termasuk Joe Biden.

Rangkaian media sosial terkemuka itu berkata, ia menggantung lebih banyak akaun kerana aktiviti ‘tidak sah’ dan meningkatkan pengawasan media ‘dikawal kerajaan’ yang mengintai peluang memanipulasi pengundi AS.

Ketika Facebook mendedahkan langkah terbaharunya, satu analisis aktiviti di platform sosial didedahkan firma analisis Graphika menunjukkan akaun berasal dari Russia menyasar calon dan isu politik AS.

“Pelbagai akaun memuji calon (presiden Demokrat) Bernie Sanders atau Donald Trump. Akaun daripada kedua-dua spektrum politik menyerang Joe Biden, sesetengah juga menyerang Kamala Harris dan Elizabeth Warren. Hampir separuh akaun mendakwa berpusat di ‘swing state’ (negeri dengan sokongan sama banyak) terutama Florida,” kata laporan Graphika.

Laporan berkata, akaun itu mengguna semula mesej daripada Agensi Penyelidikan Internet yang menyasar penonton AS dalam pilihan raya presiden 2016 dan ‘analisis sendiri Facebook menunjukkan sesetengah pautan dengan IRA (Tentera Republikan Ireland).’

Satu daripada langkah baharu diumumkan Facebook menggesa melabel mesej dari cawangan media dikawal kerajaan, bermula bulan depan.

“Kami akan menapis halaman ini ke standard ketelusan tinggi kerana mereka menggabungkan pengaruh berdasarkan pendapat sebuah pertubuhan media dengan sokongan strategik sebuah negara,” kata tulisan blog Facebook.

Facebook juga berkata, ia akan membendung penularan salah maklumat dengan menggunakan ‘paparan timbul’ yang muncul apabila pengguna cuba berkongsi maklumat di Instagram dikeluarkan pihak ketiga.

Tindakan itu menambah kepada langkah sedia ada diperkenalkan rangkaian utama media sosial itu sejak 2016 apabila entiti asing dikenal pasti menggunakan edia sosial untuk kempen AS.

“Paling penting di sini ialah pilihan raya berubah secara ketara sejak 2016 dan Faceboook juga berubah.

“Kami berdepan serangan bertambah canggih daripada sesebuah negara, namun saya yakin kami kini lebih bersedia,” kata Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg dalam panggilan persidangan.

Facebook berkata, ia menawarkan perlindungan baharu untuk akaun calon politik, memantau godaman atau digodam selain menggariskan langkah melindungi ‘penindasan pengundi’ termasuk sebarang usaha mengelirukan orang ramai mengenai di mana atau bila mengundi.

Gergasi teknologi itu berkata, ia menggugurkan rangkaian empat akaun berasingan dari Russia dan Iran untuk ‘kelakuan tidak sah terancang’ dalam Facebook dan Instagram.

“Semua operasi ini mencipta rangkaian akaun untuk mengelirukan orang ramai mengenai siapa mereka dan apa yang mereka lakukan,” kata Ketua Keselamatan Siber Facebook, Nathaniel Gleicher.

Tiga kumpulan berasal dari Iran dan satu di Russia dengan mereka menyasar pengguna di AS, Afrika Utara dan Amerika Latin. -AFP

Berita Harian X