Selasa, 22 Oktober 2019 | 8:02am
DONALD Trump

Saya manusia paling dikenali - Trump

WASHINGTON: Presiden Donald Trump berkata, usaha mengadakan sidang G7 di salah satu padang golf miliknya bukan bertujuan mempromosikan jenama perniagaannya, menegaskan beliau sudah terlalu masyhur untuk ‘diperkenalkan lagi.’

“Mereka berkata, ‘Oh, kamu mendapati promosi. Anda rasa saya tidak mendapat promosi mencukupi?

“Saya mendapat promosi lebih banyak daripada orang lain yang pernah hidup. Saya tidak perlukan promosi,” katanya dalam mesyuarat Kabinet di Rumah Putih.

Kenyataan mempertahankan diri terbaharu berhubung pelan yang sudah dibatalkan untuk mengadakan sidang G7 di pusat peranginan National Doral di Florida tahun hadapan susulan kritikan yang diterima.

Dalam tweet Sabtu lalu, Trump berkata beliau membatalkan idea itu dan mempertimbangkan lokasi lain, termasuk tempat percutian presiden di Camp David, berhampiran Washington DC.

Beliau dikritik sebelum ini kerana penggunaan lapangan golf miliknya oleh kakitangan Rumah Putih selain memberi kedudukan penasihat kanan Rumah Putih kepada anak perempuan dan menantunya.

Namun Trump menyelar tuduhan rasuah, menyatakan beliau melepaskan gaji sebanyak AS$450,000 (RM1.8 juta) dan menegaskan menjadi presiden menyebabkan beliau kehilangan sumber perniagaan antara AS$2 bilion hingga AS$5 bilion (RM8.3 bilion - RM20 bilion).

“Saya tidak peduli. Jika anda kaya, ia tidak mengapa. Saya lakukannya untuk negara.

“Saya bagus dalam perniagaan hartanah, amat, amat bagus, lebih baik daripada apa yang kamu fahami,” katanya. — AFP

Berita Harian X