Isnin, 21 Oktober 2019 | 9:56pm

Bayi lelaki parah ditembak tiga kali

UTARA PHILADELPHIA : Seorang bayi lelaki berusia 11 bulan berada dalam keadaan kritikal selepas ditembak sebanyak tiga kali ketika berada dalam kereta di sini.

Bayi malang itu sedang menaiki kereta bersama ibu tirinya di Jalan West Luzerne di Utara Philadelphia apabila wanita berkenaan terdengar bunyi tembakan.

NBC 10 melaporkan, wanita itu terus memandu melepasi Jalan North Carmac dalam usaha melarikan diri daripada tembakan.

“Apabila mangsa tiba di destinasi kira-kira 10 minit kemudian, beliau mendapati terdapat lima kesan tembakan pada kereta,” kata laporan berkenaan.

Menurut Jabatan Polis Philadelphia, mangsa turut mendapati bayi terbabit ditembak sebanyak tiga kali pada bahagian kepala, dada dan punggung.

“Bayi malang itu dikejarkan ke Pusat Perubatan Einstein namun dipindahkan ke Hospital St Christopher dan ketika ini berada dalam keadaan amat kritikal,” kata jabatan polis terbabit. - Agensi

Berita Harian X