Isnin, 21 Oktober 2019 | 8:26am
Ribuan penduduk mengambil bahagian dalam demonstrasi di Plaza Italia ketika bantahan menentang ketaksamaan sosial di Santiago, Chile, semalam. -Foto EPA

Chile lanjut darurat selepas 7 maut

SANTIAGO: Lima maut semalam apabila sebuah kilang pakaian dibakar perusuh berhampiran ibu kota Chile di sini, menjadikan angka maut akibat gelombang bantahan di negara itu berjumlah tujuh orang ketika pihak berkuasa melanjutkan perintah berkurung malam kedua berturut-turut.

Polis dan tentera melepaskan gas pemedih mata serta meriam air ke arah penunjuk perasaan di ibu kota ketika pertembungan berhubung kenaikan harga dan ketaksamaan sosial di negara itu masuk hari ketiga.

Hampir semua pengangkutan awam di ibu kota didiami tujuh juta penduduk itu lumpuh semalam, dengan kedai ditutup dan banyak penerbangan keluar masuk lapangan terbang antarabangsa ibu kota ini dibatalkan.

Selepas mesyuarat tergempar dengan pegawai atasan kerajaan lewat semalam, Presiden Sebastian Pinera mempertahankan tindakan mengisytiharkan darurat, diumumkan Jumaat lalu dan mengerah ribuan tentera ke jalanan.

“Demokrasi bukan hanya memiliki hak, ia mempunyai kewajipan mempertahankan diri menggunakan semua instrumen yang disediakan demokrasi sendiri dan peraturan undang-undang untuk memerangi mereka yang mahu memusnahkannya,” kata Pinera.

Presiden konservatif itu bercakap selepas mesyuarat dengan pengerusi Kongres dan Senat serta ketua Mahkamah Agung.

Anggota bomba berkata, lima maut dalam kebakaran kilang pakaian dibakar perusuh di Renca, utara ibu kota ini.

“Malangnya lima mayat ditemui dalam kilang,” kata ketua bomba Santiago, Diego Velasquez.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri dan Keselamatan, Andres Chadwick berkata, dua wanita rentung selepas sebuah gedung beli-belah dimiliki peruncit Amerika Syarikat (AS) Walmart, dibakar awal pagi semalam.

Mangsa ketiga, yang dikatakan pihak berkuasa maut di hospital, mengalami lecur 75 peratus pada tubuhnya.

Chadwick berkata, dua cedera akibat ditembak manakala pihak berkuasa melaporkan 103 insiden serius di seluruh negara dengan 1,462 orang ditahan, 614 di sini dan 848 di seluruh negara.

Perusuh membakar bas, memecahkan stesen metro, menumbangkan tiang lampu isyarat, menggeledah kedai dan bertemung dengan polis rusuhan di sini dan bandar lain. -AFP


Gambar menunjukkan tren dibakar di stesen metro Elisa Correa susulan bantahan kenaikan harga tiket pengangkutan awam itu, semalam. -Foto EPA

Berita Harian X