Ahad, 20 Oktober 2019 | 10:04pm

3 rentung perusuh bakar pasar raya di Chile

SANTIAGO: Sekurang-kurangnya tiga maut selepas sebuah pasar raya di sini, dibakar penunjuk perasaan, kata gabenor bandar raya, hari ini.

Gabenor Santiago, Karla Rubilar mengesahkan tiga meninggal dunia di dalam pasar raya yang dibakar penunjuk perasaan.

“Kami dengan rasa kesal memaklumkan, berdasarkan laporan awal polis Chile, dua orang disahkan meninggal dunia di San Bernado dan seorang parah serta dipindahkan ke hospital yang menempatkan dua mangsa terbabit,” tulisnya di laman Twitter tanpa mendedahkan nama pasar raya terbabit.

Rubilar berkata, beberapa penerbangan yang dikendalikan syarikat penerbangan terbesar Chile, LATAM dan Sky Airline terpaksa menangguh atau membatalkan penerbangan pagi ini selepas perintah berkurung dan rusuhan memaksa kru penerbangan tidak dapat keluar untuk bekerja.

Keadaan itu menyebabkan ramai penumpang terjejas dan terkandas di lapangan terbang.

LATAM Chile menerusi laman Twitter menjelaskan keadaan tidak menentu itu turut menjejaskan penerbangan masuk dan keluar dari Santiago.

“Kami akan terus cuba menjadualkan perjalanan penerbangan kami masuk dan keluar dari Santiago pada 20 dan 21 Oktober,” tulis syarikat itu di laman Twitter dan menasihatkan penumpang agar menyemak penerbangan mereka sebelum pergi ke lapangan terbang.

Santiago dan beberapa bandar lain di Chile berdepan rusuhan yang memasuki hari ketiga susulan bantahan terhadap kenaikan kos pengangkutan awam menyebabkan Presiden Sebastian Pinera mengisytiharkan darurat. - Reuters

Berita Harian X