Ahad, 20 Oktober 2019 | 2:05pm
Trump National Doral, Florida yang dipilih sebagai lokasi asal Sidang Kemuncak G7 tahun depan. Foto AFP

Trump tukar lokasi sidang kemuncak G7 selepas dikritik

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berkata Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) tidak akan diadakan di kelab golf miliknya di Florida, selepas beliau menerima kritikan berhubung isu rasuah.

Pengumuman oleh pemangku Ketua Kakitangan Rumah Putih, Mick Mulvaney, mengenai lokasi mesyuarat G7 itu, pada Khamis lalu mencetuskan bantahan, terutama dalam kalangan pembangkang, dari parti Demokrat di Kongres.

Mereka menyifatkan ia sebagai antara perbuatan rasuah yang cuba dilakukan oleh presiden itu.

“Berdasarkan reaksi tidak rasional pihak media dan Demokrat, kami tidak lagi memilih Trump National Doral, Miami sebagai lokasi (Sidang Kemuncak) G7 pada 2020.

“Oleh itu, kami akan mula mencari lokasi baharu, termasuk kemungkinan mengadakannya di Kem David,” katanya.

Khamis lalu, Mulvaney berkata, lokasi di Florida itu dianggap paling baik berbanding puluhan lagi pusat peranginan lain, bagi penganjuran sidang kemuncak pada 10 Jun hingga 12 Jun tahun depan itu. - AFP

Berita Harian X