Ahad, 20 Oktober 2019 | 1:07pm
Ramba berehat selepas tiba di kawasan perlindungan gajah di Chapada dos Guimaraes, Mato Grosso, Brazil. Foto AFP

Gajah sarkas, Ramba jalani hidup baharu di Brazil

CHAPADA DOS GUIMARAES: Seekor gajah yang mengadakan persembahan di beberapa sarkas di Amerika Selatan selama puluhan tahun, kini memulakan kehidupan baharu di kawasan perlindungan di Brazil.

Ramba yang dianggarkan berusia dalam lingkungan 52 tahun, tiba di Brazil selepas menempuh perjalanan sejauh ribuan kilometer dari sebuah zoo di Chile.

Ketibaan Ramba di kawasan perlindungan gajah seluas 1,133 hektar di Mato Grosso di barat Brazil semalam, turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook dan mendapat tontonan ribuan pengguna.

Gajah malang itu bekerja di beberapa sarkas di Argentina dan Chile, sebelum dibebaskan oleh aktivis pada 2012.

Ia kemudiannya ditempatkan di sebuah zoo di Rancagua di tengah Chile, sementara anggota penyelamat mencari lokasi sesuai untuk gajah itu memulakan hidup baharu.

Namun, sepanjang tempoh itu, Ramba dilapor mengalami pelbagai masalah kesihatan, seperti buah pinggang dan hati.

Pada Rabu lalu, gajah itu diterbangkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Viracopos berhampiran Sao Paulo.

Selepas itu, Ramba dibawa ke kawasan perlindungan di Chapada dos Guimaraes, yang dibuka pada 2016 hasil bantuan Global Sanctuary for Elephants (GSE), yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Kawasan perlindungan itu adalah yang pertama seumpamanya dibuka di Amerika Latin.

Ketibaan Ramba di kawasan perlindungan itu, turut disertai dua lagi gajah, iaitu Rana dan Maia, yang juga pernah mengadakan persembahan di sarkas.

“Ramba memerlukan satu tempat yang aman, yang membolehkan ia berasa selamat, bukan untuk dijadikan tontonan orang ramai, sambil dikelilingi haiwan sepertinya, yang benar-benar memahaminya serta menerimanya dengan hati terbuka,” kata Ketua GSE, Scott Blais dalam satu kenyataan. - AFP

Berita Harian X