Sabtu, 19 Oktober 2019 | 6:49pm
CALON Presiden Amerika Syarikat (AS), Bernie Sanders. - Foto AFP

Bernie Sanders kembali berkempen selepas serangan jantung

NEW YORK: Calon Presiden Amerika Syarikat (AS), Bernie Sanders akan kembali berkempen di bandaraya ini hari ini, hampir tiga minggu selepas serangan jantung yang mencetuskan kebimbangan terhadap kemampuan beliau mencabar Presiden Donald Trump.

Menurut pasukan kempen, seorang pemimpin kelompok progresif parti, Alexandria Ocasio-Cortez yang sering menjadi sasaran Trump akan menyertai perhimpunan Sanders di Queenbridge Park dan menyokong beliau secara rasmi untuk bertanding.

Perhimpunan itu akan menjadi acara pertama Sanders dalam kempennya, sejak serangan jantung beliau pada 1 Oktober lalu, akibat saluran arteri tersumbat.

Serangan jantung itu mengancam menjejaskan kempen Sanders, 78, calon tertua yang mengintai pencalonan berdepan Trump pada 2020.

Senator AS itu membatalkan beberapa kempen dan kembali ke rumahnya di Burlington, Vermont untuk pulih.

Namun, Sanders kembali menyertai debat Demokrat selama tiga jam, malam Selasa lalu dan berjanji menyambung kempen penuh beberapa isu progresif seperti program penjagaan kesihatan kerajaan dan cukai terhadap penduduk kaya AS. - Reuters

Berita Harian X