Rabu, 9 Oktober 2019 | 1:07pm

Johnson & Johnson diarah bayar ganti rugi RM33.5 bilion

NEW YORK: Juri Pennsylvania semalam mengarahkan gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat, Johnson & Johnson membayar ganti rugi dan faedah AS$8 bilion (RM33.5 bilion) kerana gagal memberi amaran ubat psikiatri boleh menyebabkan payudara lelaki membesar.

Johnson & Johnson dan anak syarikatnya, Janssen Pharmaceuticals dipersalahkan apabila plaintif, Nicholas Murray, memberitahu mahkamah Philadelphia bahawa ubat Risperdal, yang diberikan untuk merawat skizofrenia dan bipolar, menyebabkan payudara beliau membesar.

Syarikat berkenaan mencabar arahan itu, menyifatkan pampasan yang diberikan sangat tidak seimbang dengan pemberian terdahulu dalam kes itu cuma AS$680,000 (RM2.8 juta).

“Syarikat yakin arahan akan ditarik balik dan mengenepikan segera keputusan melampau dan tidak berasas ini,” kata kenyataan.

Dalam kenyataannya, Johnson & Johnson menuduh mahkamah menghalang peguam mereka membentangkan bukti kukuh pada label Risperdal.

Syarikat itu berhadapan siri aduan di mahkamah kerana gagal memberi amaran mengenai kesan sampingan Risperdal, termasuk di

Pennsylvania, California dan Missouri.

Risperdal, diluluskan untuk rawatan kepada orang dewasa oleh Pentadbiran Makanan dan Ubatan AS pada 1993, membawa keuntungan hasil jualan kira-kira AS$737 juta (RM3.09 bilion) pada 2018. — AFP

Berita Harian X