Rabu, 9 Oktober 2019 | 10:06am

Twitter mengaku guna nombor telefon, emel pengguna untuk iklan

SAN FRANCISCO: Twitter memohon maaf semalam selepas menggunakan nombor telefon dan alamat emel tanpa sengaja untuk pengiklanan walaupun data peribadi diberikan bagi keselamatan akaun.

Nombor telefon dan alamat emel pengguna, yang diberikan untuk membolehkan pengesahan akaun, dipadankan dengan data pengiklan sendiri untuk membolehkan iklan sasaran.

“Apabila anda memberikan alamat emel atau nombor telefon bagi tujuan keselamatan data ini mungkin digunakan secara tidak sengaja bagi tujuan pengiklanan.

“Ini adalah kesilapan dan kami meminta maaf,” kata Twitter dalam siaran atas talian.

Tiada data pengguna dikongsi dengan rakan di luar syarikat, dan masih tidak diketahui berapa ramai terjejas, kata syarikat beribu pejabat di San Francisco itu.

Isu itu diperbetulkan pada pertengahan September, kata Twitter.

“Kami meminta maaf perkara ini berlaku dan mengambil langkah untuk memastikan kami tidak melakukan kesilapan seperti ini lagi,” kata Twitter.

Data peribadi dan internet menjadi topik politik panas di seluruh dunia, dengan gergasi teknologi seperti Twitter dan Facebook diperhatikan pengawal selia. — AFP

Berita Harian X