Selasa, 8 Oktober 2019 | 1:31pm
FILE PHOTO: The Facebook application is seen on a phone screen August 3, 2017. REUTERS/Thomas White/File Photo

Lebih 40 Peguam Negara negeri AS siasat Facebook

WASHINGTON: Dianggarkan 40 peguam negara negeri di Amerika Syarikat (AS) akan menyertai siasatan terhadap Facebook Inc, berhubung dakwaan amalan anti persaingan di syarikat media sosial terbabit, kata sumber.

Siasatan terhadap Facebook yang diumumkan September lalu itu dimulai New York selain Colorado, Florida, Iowa, Nebraska, Carolina Utara, Ohio, Tennessee dan District of Columbia.

Beberapa negeri seperti New York dan Nebraska, membangkitkan kebimbangan terhadap Facebook dan beberapa gergasi teknologi lain yang berkemungkinan berkomplot melakukan anti persaingan, mendedahkan data pelanggan kepada risiko diceroboh dan meningkatkan harga pengiklanan.

Beberapa peguam negara negeri bertemu dengan pegawai dari Jabatan Keadilan dan Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) hari ini, kata Peguam Negara New York, Letitia James dalam satu kenyataan.

Pertemuan itu dibuat susulan laporan Reuters dan beberapa media lain pada 25 September lalu bahawa Jabatan Keadilan akan membuka siasatan anti persaingan terhadap Facebook, yang turut berdepan siasatan oleh FTC dan Jawatankuasa Kehakiman Dewan Rakyat.

Facebook yang turut memiliki Instagram dan WhatsApp dengan 2.4 bilion pengguna setiap bulan, Julai lalu bersetuju membayar denda kepada FTC berjumlah AS$5 bilion (RM20.9 bilion) di atas pelbagai pelanggaran hak kerahsiaan. - Reuters

Berita Harian X