Selasa, 8 Oktober 2019 | 12:38pm
ORANG ramai hadir ke sebuah peringatan sementara untuk empat lelaki yang dibunuh di Chinatown. - Foto AFP

Lelaki bunuh empat gelandangan ditangkap

NEW YORK: Seorang lelaki gelandangan yang menggunakan batang besi untuk memukul empat gelandangan lain sehingga maut berjaya ditangkap ketika masih memegang senjata yang diselaputi rambut dan darah.

Lelaki itu juga mengaku dia adalah individu dalam video salah satu serangan itu, kata pendakwa kelmarin.

Randy Santos dituduh atas tuduhan membunuh dan cubaan membunuh dalam kejadian berdarah yang berlaku Sabtu lalu di Chinatown di Manhattan.

Dia tidak memasukkan sebarang pengakuan dan diarah ditahan tanpa ikat jamin.

Mangsa kelima yang cedera dalam serangan itu masih di hospital dalam keadaan kritikal.

Santos, 25, membawa batang besi yang diselaputi darah dan rambut ketika ditahan berhampiran lokasi kejadian, kata pendakwa.

Mereka menunjukkan kepada Santos video salah satu serangan ketika disoal siasat polis dan mengaku dia ialah individu dalam rakaman berkenaan yang memegang objek besi panjang.

Santos menjalani penilaian psikiatri selepas ditangkap, kata polis.

Serangan menyebabkan darah terpercik di kaki lima dan laluan pejalan kaki yang menjadi tempat mangsa tidur.

Polis mengenal pasti salah seorang mangsa ialah warga tua lelaki berusia 83 tahun dan tidak menyiarkan maklumat mengenai mangsa lain.

Santos pernah ditahan sekurang-kurangnya enam kali dalam masa dua tahun, tiga kali atas dakwaan menyerang. — Agensi

Berita Harian X