Isnin, 30 September 2019 | 1:28pm
Sandeep Dhaliwal, Timbalan Sherif pertama dibenar memakai turban tradisional Sikh di Amerika Syarikat, ditembak dari belakang selepas menahan seorang lelaki atas kesalahan lalu lintas di Houston. - Foto AFP
Sandeep Dhaliwal, Timbalan Sherif pertama dibenar memakai turban tradisional Sikh di Amerika Syarikat, ditembak dari belakang selepas menahan seorang lelaki atas kesalahan lalu lintas di Houston. - Foto AFP

Texas beri penghormatan, Sherif Sikh dibunuh ketika bertugas

WASHINGTON: Puluhan ribu penduduk Texas memberi penghormatan terakhir kepada seorang Timbalan Sherif berbangsa Sikh, yang dibunuh ketika bertugas, Jumaat lalu.

Sandeep Dhaliwal, Timbalan Sherif pertama dibenar memakai turban tradisional Sikh di Amerika Syarikat (AS), ditembak dari belakang selepas menahan seorang lelaki atas kesalahan lalu lintas di Houston.

Sebagai tanda menghormati mendiang, perlawanan American Football antara Houston Texans menentang Carolina Panthers dimulai dengan suasana senyap seketika manakala sejumlah penduduk turut berhimpun di luar gereja di seluruh daerah Harris, lokasi Dhaliwal berkhidmat.

Sherif daerah Harris, Ed Gonzalez memberitahu wartawan, Dhaliwal, 41 ditembak beberapa kali dengan pistol dari belakang ketika sedang menuju ke kereta perondanya.

Seorang suspek ditahan susulan pembunuhan itu.

Dhaliwal berkhidmat dengan pasukan keselamatan selama 10 tahun selepas menjual perniagaan pengangkutannya yang lumayan.

Mendiang berharap khidmatnya sebagai penguatkuasa undang-undang dapat memperbaiki hubungan masyarakat Sikh yang sering berdepan prejudis, kata Washington Post.

Pejabat Sherif akan mengadakan upacara bagi memberi penghormatan terakhir kepada Dhaliwal malam ini, dua hari sebelum upacara pengebumiannya. - AFP

Berita Harian X