Ahad, 22 September 2019 | 12:09pm

Dua penumpang Islam dakwa didiskriminasi Amerika Airlines

DALLAS: Dua lelaki Islam dari Texas mendakwa syarikat penerbangan American Airlines meminggirkan dan membatalkan penerbangan kedua-duanya selepas anggota kru berasa tidak selesa terbang bersama mereka.

Abderraoof Alkhawaldeh dan Issam Abdallah berkata, mereka membuat aduan dengan Jabatan Pengangkutan terhadap syarikat penerbangan beribu pejabat di Fort Worth.

Mereka menuntut agensi persekutuan menyiasat perkara itu.

Mereka berkata, American Airlines mendiskriminasi mereka kerana beragama Islam dan berasal dari Asia Barat ketika penerbangan dari Birmingham, Alabama, menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Dallas-Fort Worth.

Kedua-dunya berkata, pembantu penerbangan melaporkan mereka kerana seorang anggota kru menyedari Abdallah mengepam tandas dua kali ketika, menurut surat kepada peguam kedua-dua lelaki yang dihantar kepada Jabatan Pengangkutan.

Mereka turut melambai kepada satu sama lain dalam pesawat.

“Ini adalah hari paling memalukan dalam kehidupan saya,” kata Abdallah di Majlis Perhubungan Amerika-Islam cawangan Dallas-Fort Worth.

Mereka ditempatkan dalam pesawat lain selepas itu.

Alkhawaldeh dan Abdallah disoal siasat dan diperiksa oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan sebelum mereka dibenarkan memasuki pesawat.

“Saya sudah menaiki ratusan pesawat dan bila dilayan tanpa rasa hormat, disyaki, disoal siasat secara terbuka dan dipilih dan diikut di hadapan orang lain di lapangan terbang, saya bimbang apa akan saya alami dalam penerbangan seterusnya,” kata

Alkhawaldeh.

Katanya, beliau kerap menggunakan pesawat itu dan adalah anggota AAdvantage Executive Platinum, taraf tertinggi bagi penumpang yang kerap menggunakan penerbangan itu.

Jurucakap American Airlines, LaKesha Brown, berkata penerbangan dibatalkan kerana kebimbangan yang dibangkitkan seorang anggota kru dan seorang penumpang.

“Syarikat dan semua rakan serantau mempunyai tanggungjawab memandang keselamatan yang dibangkitkan anggota kru dan penumpang dengan serius,” kata Brown dalam kenyataan.

Beliau menambah, syarikat itu menilai kejadian berkenaan dan menghubungi kedua-dua penumpang untuk memahami pengalaman mereka dengan lebih baik. — Agensi

Berita Harian X