Isnin, 9 September 2019 | 1:58pm
Presiden Brazil, Jair Bolsonaro. - Foto AFP

Presiden Brazil selamat dibedah kali keempat

SAO PAULO: Presiden Brazil, Jair Bolsonaro menjalani pembedahan semalam bagi memulihkan kesan kecederaan abdomen, yang keempat sejak ditikam di bahagian perut ketika kempen pilihan raya, setahun lalu.

Pembedahan di Hospital Vila Nova Star itu berlangsung lebih lima jam, lapor pusat perubatan itu dalam kenyataan yang ditandatangani oleh pakar bedah, Antonio Luiz Macedo.

“Prosedur ini berjaya disempurnakan,” kata Macedo menerusi satu kenyataan sambil menambah, presiden berkenaan berada dalam keadaan stabil dan menunjukkan perkembangan memberangsangkan.

Katanya, sebahagian kecil usus Bolsonaro terpaksa dibuang kerana melekat pada dinding abdomen.

Bolsonaro dijangka berada di hospital selama lima hari dan boleh menaiki penerbangan selepas seminggu, jelas Macedo.

Naib Presiden, Hamilton Mourao buat masa ini memangku tugas-tugas presiden dan akan kekal di pejabat sekurang-kurangnya hingga Khamis depan, kata jurucakap istana presiden.

Bolsonaro ditikam pada 6 September tahun lalu ketika sedang mengadakan kempen pilihan raya di negeri Minas Gerais oleh seorang lelaki berusia 41 tahun yang disahkan mengalami gangguan psikologi dan tidak sihat untuk dibicarakan.

Penyerang berkenaan, Adelio Bispo de Oliveira kini ditahan di unit psikiatri di sebuah penjara kawalan ketat. - AFP

133 dibaca
Berita Harian X