Sabtu, 31 Ogos 2019 | 8:51am
Gambar fail, CEO Twitter, Jack Dorsey. - Foto AFP

Akaun CEO Twitter, Jack Dorsey diceroboh

SAN FRANCISCO: Twitter berkata akaun Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Jack Dorsey diceroboh selepas satu siri mesej yang tidak menentu dan bersifat menghina di muat naik.

Mesej tweet yang berbau perkauman dan cadangan mengenai bahan letupan itu muncul pada kira-kira jam 8 malam (waktu tempatan) di akaun pengasas mesej ringkas berkenaan, @jack sebelum ia dipadamkan.

Sebahagian tweet berkenaan mengandungi tanda pagar #ChucklingSquad yang dipercayai identiti kumpulan penceroboh.

Mesej-mesej itu mengandungi gelaran bersifat perkauman termasuk tweet semula mesej yang menyokong Nazi Jerman.

“Kami menyedari bahawa @jack diceroboh dan sedang menyiasat apa yang sebenarnya berlaku,” kata jurucakap Twitter.

Pelbagai komen membanjiri platform berkenaan mempersoalkan mengapa pengasas Twitter tidak melindungi akaunnya menggunakan pengesahan dua-faktor.

Kejadian itu memberi gambaran yang cukup mengganggu bahawa ia sendiri gagal melindungi dan memastikan pengasasnya selamat di platform berkenaan.

Susulan insiden itu, Dorsey dan Twitter berjanji akan bergerak lebih agresif untuk membersihkan kandungan yang menyinggung dan tidak sesuai sebagai sebahagian daripada tumpuan platform itu terhadap keselamatan.

“Ia mungkin satu-satunya cara untuk membuang tweet berbau perkauman di platform ini,” kata seorang pengguna Twitter.

Twitter baru-baru ini mengumumkan akan bertemu dengan wakil pasukan Manchester United berhubung gesaan supaya lebih banyak dilakukan dalam mencegah penghinaan berbau perkauman terhadap pemain bola sepak di platform media sosial. - AFP

Berita Harian X