Selasa, 27 Ogos 2019 | 8:42am
Pejabat Hakim Oklahoma. - Foto Getty Image
Pejabat Hakim Oklahoma. - Foto Getty Image

J&J diarah bayar ganti rugi RM2.4 bilion

WASHINGTON: Seorang Hakim Oklahoma, semalam mengarahkan syarikat gergasi Amerika Syarikat (AS), Johnson & Johnson (J&J) membayar ganti rugi AS$572 juta (RM2.4 bilion) kerana pembabitannya dalam menggalakkan krisis ketagihan opioid di negara itu.

Dalam perbicaraan sivil pertama pengeluar ubat berhubung wabak yang menyebabkan ratusan ribu kematian kerana dos berlebihan, Hakim Thad Balkman berkata, pendakwa raya berjaya membuktikan, J&J menyumbang kepada ‘gangguan awam’ dalam promosi mengelirukan ubat penahan sakit yang boleh menyebabkan ketagihan itu.

“Tindakan itu menjejaskan kesihatan dan keselamatan ribuan penduduk Oklahoma,” katanya.

Menurut arahan itu, syarikat berkenaan dan unit farmaseutikalnya, Janssen, akan membiayai pelan subsidi bagi penjagaan penagih, keluarga dan masyarakat yang terjejas akibat krisis itu.

“Pemasaran dan promosi mengelirukan defendan, Janssen dan Johnson & Johnson mengenai opioid mencetuskan gangguan,” kata Balkman.

J&J adalah syarikat farmaseutikal pertama dibicarakan berhubung krisis opioid di AS, yang menyebabkan lebih 70,000 kematian kerana dos berlebihan pada 2017 sahaja.

Masih ada 2,000 saman terhadap pengeluar ubat dan pengedar yang difailkan oleh AS dan kerajaan negeri. — AFP

Berita Harian X