Selasa, 20 Ogos 2019 | 10:24am
Presiden Donald Trump. Foto AFP

Trump hubungi Modi, Imran bincang isu Kashmir

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan sudah menghubungi Perdana Menteri India dan Pakistan semalam, bagi menggesa kedua-dua pemimpin itu meredakan ketegangan membabitkan isu Kashmir.

“Sudah berbincang dengan dua sahabat baik saya, Perdana Menteri India, (Narendra) Modi dan Perdana Menteri Pakistan, (Imran) Khan, berhubung hal perdagangan, kerjasama strategik serta paling penting untuk India dan Pakistan bekerjasama bagi mengurangkan ketegangan di Kashmir.

“Ia satu situasi sukar, tetapi perbincangan berjalan dengan baik,” kata Trump di Twitter.

Pada 5 Ogos lalu, New Delhi membatalkan Perkara 370 dalam Perlembagaan India yang memberikan autonomi khas kepada Kashmir.

Ia mengakibatkan Jammu dan Kashmir terpisah kepada dua bahagian serta menjadikannya sebagai wilayah dalam kesatuan, sekali gus mencetuskan pertelagahan dengan Pakistan.

Kerajaan pimpinan Modi turut mengehadkan pergerakan penduduk di wilayah itu, dan menyekat perkhidmatan internet serta talian telefon.

India dan Pakistan, masing-masing menguasai sebahagian daripada wilayah Kashmir apabila kedua-dua negara itu mencapai kemerdekaan pada 1947.

Sejak itu, berlaku pelbagai pertempuran dan dua perang membabitkan India serta Pakistan, dengan yang terbaharu pada Februari lalu. - AFP

Berita Harian X