Selasa, 20 Ogos 2019 | 7:25am
Twitter dan Facebook gantung ratusan akaun susulan protes di Hong Kong. Foto hiasan

Twitter, Facebook tuduh China guna akaun palsu

COLORADO/SAN FRANCISCO: Twitter Inc (Twitter) dan Facebook Inc (Facebook) berkata, mereka sudah menggantung akaun media sosial, yang beroperasi dari tanah besar China bertujuan melemahkan protes di Hong Kong.

Menurut Twitter, syarikat itu sudah menggantung 936 akaun dan operasi yang disyaki dikendalikan oleh beberapa pihak di China.

Katanya, kesemua akaun itu dipercayai sebahagian daripada rangkaian lebih besar, iaitu kira-kira 200,000 akaun yang sudah digantung sebelum beroperasi dengan lebih aktif.

Sementara itu, Facebook berkata, mereka sudah mengeluarkan akaun dan laman daripada rangkaian operasi lebih kecil, selepas menerima maklumat daripada Twitter.

Facebook berkata, hasil siasatan mendapati akaun itu mempunyai kaitan dengan beberapa individu yang dikaitkan dengan Kerajaan China.

Tunjuk perasaan yang sedang berlaku di Hong Kong adalah salah satu cabaran besar yang terpaksa dihadapi oleh Presiden Xi Jinping, sejak mengambil alih kuasa pada 2012. - Reuters

Berita Harian X