Sabtu, 17 Ogos 2019 | 8:40am
Gambar fail, pelakon Peter Fonda tiba pada tayangan perdana filem ‘The Ballad of Lefty Brown’ di Festival Filem AFI di Los Angeles, California pada November 2017. - Foto REUTERS
Gambar fail, pelakon Peter Fonda tiba pada tayangan perdana filem ‘The Ballad of Lefty Brown’ di Festival Filem AFI di Los Angeles, California pada November 2017. - Foto REUTERS

Aktor Peter Fonda meninggal dunia

LOS ANGELES: Pelakon veteran Amerika Syarikat (AS), Peter Fonda, yang pernah membintangi filem klasik ‘Easy Rider’ pada 1969, meninggal dunia akibat masalah respiratori kesan daripada kanser paru-paru, kata keluarganya. Beliau berusia 79 tahun.

Fonda adik kepada aktres dan aktivis Jane Fonda, meninggal dunia di kediamannya di Los Angeles, kata satu kenyataan kepada AFP.

Beliau turut sama menulis skrip dan menerbitkan ‘Easy Rider’ serta bergandingan dengan aktor ternama lain seperti Dennis Hopper dan Jack Nicholson.

Filem ini begitu berjaya sehingga ia dicalonkan dalam kategori Lakon layar Terbaik, Anugerah Akademi. Beliau turut dicalonkan sebagai Aktor Terbaik dalam Anugerah Oscar pada 1997 menerusi filem ‘Ulee’s Gold’ namun tewas kepada Nicholson.

Fonda memulakan kerjaya beliau sebagai pelakon di pentas Broadway di New York.

Beliau pernah berkahwin sebanyak tiga kali dan mempunyai dua anak termasuk aktres Bridget Fonda. - AFP

Berita Harian X