Rabu, 7 Ogos 2019 | 8:44am
Peter Chadwick. Foto Agensi
Peter Chadwick. Foto Agensi

Jutawan bunuh isteri berjaya diberkas di Mexico

LOS ANGELES: Seorang jutawan kelahiran Britain yang menghilangkan diri selama lebih empat tahun, berjaya diberkas di Mexico dan bakal diekstradisi ke Amerika Syarikat, bagi menghadiri perbicaraan membunuh isterinya, di kediaman pasangan itu di California.

Menurut polis, Peter Chadwick, 55, berjaya dikesan di sebuah lokasi berhampiran Mexico City, hasil maklumat orang ramai, selepas pihak berkuasa menawarkan wang ganjaran sebanyak AS$100,000 (RM418,717).

“Hari ini amat menggembirakan. Kami berjaya menahan orang buruan yang tersenarai dalam senarai orang paling dikehendaki oleh Amerika Syarikat.

“Jangan lupa bahawa ia adalah kejadian menyedihkan dan ada seorang mangsa, iaitu seorang isteri yang dikahwini selama 21 tahun serta ibu kepada tiga anak,” kata pendakwa raya daerah Orange County, Todd Spitzer.

Pada 2012, Chadwick menghubungi pihak polis dan menuduh seorang pekerja rencam membunuh isterinya, Quee Choo Lim, sebelum menahan beliau sebagai tebusan.

Chadwick berkata, pembunuh itu memaksanya memandu sehingga ke Mexico bagi melupuskan mayat isterinya.

Bagaimanapun, anggota polis Amerika Syarikat yang berjaya menahan Chadwick ketika beliau berada beberapa kilometer di sempadan utara negara itu, menemui kesan calar pada leher dan darah kering pada kukunya.

Mereka turut menemui lokasi jenayah, iaitu kediaman pasangan itu dan suspek kemudiannya membawa mereka ke sebuah tempat pembuangan sampah di San Diego, California, lokasi beliau menyembunyikan mayat terbabit.

Chadwick dituduh mencekik isterinya ketika bertengkar mengenai isu kewangan dan mereka dipercayai dalam proses untuk bercerai.

Beliau yang memiliki kekayaan hasil pembabitan dalam kegiatan hartanah, dibebaskan pada Disember 2012 selepas membayar bon sebanyak AS$1 juta (RM4.18 juta), selain dikehendaki menyerahkan pasport Amerika Syarikat dan Britain miliknya.

Namun, pada 2015, beliau berjaya melarikan diri ke Mexico dan tinggal di negara itu sehinggalah ditahan pihak berkuasa. - AFP

Berita Harian X