Selasa, 6 Ogos 2019 | 2:03pm
DONALD Trump
DONALD Trump

Trump arah beku aset kerajaan Venezuela di AS

WASHINGTON: Presiden Donald Trump semalam mengarahkan semua aset milik kerajaan Venezuela di Amerika Syarikat (AS) dibekukan dan transaksi dengan pihak berkuasa negara itu disekat, kata Trump dalam langkah terkini Washington terhadap Presiden Nicolas Maduro.

Kenyataan itu menyebut, Trump bertindak demikian susulan rampasan kuasa berterusan oleh Nicolas Maduro dan individu yang dikaitkan dengannya, termasuk perlanggaran hak asasi manusia.

Wall Street Journal berkata langkah itu adalah yang pertama pernah diambil ke atas sebuah kerajaan di Hemisfera Barat sejak 30 tahun lalu sekali gus mengenakan sekatan ke atas Caracas sama seperti Korea Utara, Iran, Syria dan Cuba.

Pemimpin pembangkang Venezuela, Juan Guaido, yang diiktiraf sebagai presiden sementara oleh AS dan puluhan negara lain, menyokong penuh langkah itu, mengatakan ia bertujuan untuk melindungi Venezuela daripada pemerintahan kuku besi Maduro.

“Mereka yang menyokong dan meraih manfaat daripada kelaparan dan kesengsaraan rakyat Venezuela, harus tahu bahawa ia punya akibat,” kata Guaido. - AFP

Berita Harian X