Khamis, 4 Julai 2019 | 11:38am

Perkhidmatan Facebook, Instagram & WhatsApp kembali pulih

SAN FRANCISCO: Syarikat media sosial Facebook mengumumkan bahawa perkhidmatan mereka kembali pulih 100 peratus, lewat Rabu selepas gangguan teknikal yang menjejaskan jutaan pengguna di beberapa lokasi dunia.

Perkhidmatan pemantauan internet, DownDetector terdahulu melaporkan bahawa masalah teknikal itu bermula kira-kira 12 tengah hari GMT (8 malam semalam) dan memberi kesan ke atas perkhidmatan Facebook, Instagram serta WhatsApp.

“Isu ini sudah diselesaikan dan perkhidmatan ini seharusnya sudah pulih 100 peratus,” kata syarikat itu menerusi Twitter sambil menambah, mereka memohon maaf atas semua kesulitan.

Jurucakap Facebook yang turut bercakap bagi pihak Instagram dan WhatsApp berkata, rutin penyenggaraan operasi secara tidak sengaja mencetuskan pepijat sehingga menyukarkan pengguna memuat naik atau memuat turun foto serta video.

#Facebookdown dan #instagramdown juga dilihat memenuhi hantaran di Twitter susulan laporan daripada pengguna di seluruh dunia berhubung kegagalan aplikasi media sosial itu berfungsi.

Menurut DownDetector, ribuan pengguna seluruh dunia melaporkan gangguan itu dengan Eropah dan Amerika Utara dilihat paling terkesan.

Masalah berkenaan memberi kesan kepada pengguna individu, perniagaan dan pertubuhan.

“Ya. kami juga terkesan dengan #instagramdown. Tidak, kami bukan punca masalah ini. Tidak, kami tidak boleh membantu anda. Apakah anda sudah cuba untuk log keluar dan log masuk?” kata Agensi Perisikan Pusat (CIA) menerusi Twitter.

Awal tahun ini Facebook dilanda masalah perkhidmatan selama 24 jam yang dikatakan berpunca dari perubahan konfigurasi sistem. - AFP

Berita Harian X