Rabu, 26 Jun 2019 | 8:24am
Stephanie Grisham dilantik sebagai Setiausaha Akhbar Rumah Putih. Foto Reuters
Stephanie Grisham dilantik sebagai Setiausaha Akhbar Rumah Putih. Foto Reuters

Stephanie Grisham dilantik Setiausaha Akhbar Rumah Putih

WASHINGTON: Pengarah Komunikasi bagi wanita pertama, Melania Trump, iaitu Stephanie Grisham, yang juga pembantu Presiden Donald Trump dilantik sebagai Setiausaha Akhbar Rumah Putih, menggantikan Sarah Sanders.

Melania mengumumkan pelantikan itu semalam, menerusi Twitter, sekali gus mengakhiri pencarian Trump bagi mengisi jawatan itu, selepas Sanders pada awal bulan ini, mengambil keputusan untuk bersara dan kembali ke Arkansas.

Grisham, 42, yang juga anggota Parti Republikan di Arizona adalah antara orang pertama yang dilantik oleh Trump untuk menyertai kempen pilihan raya, iaitu sebagai pembantu akhbar pada 2015.

Beliau menyandang jawatan timbalan setiausaha akhbar di Rumah Putih selepas Trump menjadi presiden pada Januari 2017 dan kemudiannya mengendalikan operasi wanita pertama.

Malah, Grisham juga dikatakan amat setia kepada pasangan Trump.

Sementara itu, hasrat Trump memilih Grisham bagi mengisi jawatan itu dikesan selepas pembantunya, memaklumkan wanita itu dipilih menyertai pasukan Rumah Putih ke Sidang Kemuncak Kumpulan 20 di Osaka, Jepun, selain lawatan ke Seoul, Korea Selatan, minggu ini. - Reuters

Berita Harian X