Jumaat, 14 Jun 2019 | 10:13am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Bapa bunuh lima anak terima hukuman mati

WASHINGTON: Seorang lelaki yang disabitkan dengan kesalahan membunuh lima anaknya dijatuhi hukuman mati semalam, walaupun selepas isterinya membuat rayuan kepada juri.

Peguam kepada Timothy Jones, 37, dalam hujah pembelaan menegaskan bahawa tertuduh adalah seorang pesakit skizofrenia dan tidak sihat untuk menjalani perbicaraan.

Jones disabitkan dengan kesalahan membunuh lima anaknya minggu lalu, masing-masing berusia setahun hingga lapan tahun pada 2014.

Bekas isteri tertuduh mengejutkan mahkamah Carolina Selatan semalam apabila meminta juri membiarkan tertuduh terus hidup.

“Dia tidak menunjukkan sebarang rasa simpati kepada anak-anak saya namun mereka amat menyayangi bapa mereka dan saya bercakap bagi pihak semua anak-anak ini, bukan untuk saya sendiri,” kata Amber Kyzer, seperti dilaporkan pihak media.

Kyzer berkata, beliau menyerahkan hak penjagaan kesemua anak kerana tertuduh menghasilkan pendapatan yang jauh lebih besar sebagai seorang jurutera komputer.

Pendakwa Rick Hubbard meminta mahkamah menjatuhkan hukuman mati dan menggelarkan Jones sebagai seorang ‘raksasa’.

Juri mengambil masa kurang dari dua jam untuk mengumumkan keputusan.

Jones berkata, dia mengesyaki anak lelakinya yang berusia enam tahun merancang sesuatu bersama bekas isterinya, justeru dia memaksa kanak-kanak itu bersenam sehingga mati.

Dia kemudian mencekik empat anak lagi sehingga mati dan membawa mayat kesemua anaknya menaiki kereta selama sembilan hari sebelum mencampakkannya di kaki bukit di Alabama.

Lelaki itu ditahan pada satu pemeriksaan trafik selepas pegawai bertugas mengesan bau mayat reput di dalam keretanya. - AFP

Berita Harian X