Isnin, 3 Jun 2019 | 9:20am
Menteri Luar Kanada, Chrystia Freeland menyampaikan ucapannya di Kumpulan Lima di Ottawa, Ontario, Kanada, semalam. -Foto AFP
Menteri Luar Kanada, Chrystia Freeland menyampaikan ucapannya di Kumpulan Lima di Ottawa, Ontario, Kanada, semalam. -Foto AFP

Kanada gantung operasi kedutaan di Venezuela

OTTAWA: Kanada mengumumkan untuk menutup sementara kedutaannya di Venezuela, berikutan tindakan Presiden Nicolas Maduro yang enggan mengiktiraf diplomat yang kritikal terhadap rejimnya.

Pada masa yang sama, Ottawa sedang mengkaji status duta khas Maduro ke Kanada.

Menteri Luar, Chrystia Freeland berkata dalam satu kenyataan, rejim berkenaan bertindak membatasi keupayaan kedutaan asing untuk berfungsi di Venezuela, khususnya mereka yang cenderung ke arah pemulihan demokrasi di sana.

Januari lalu, Kanada bersama-sama Amerika Syarikat (AS) dan kuasa besar Amerika Latin, menjadi antara negara pertama mengiktiraf pemimpin pembangkang Venezuela, Juan Guaido.

Guaido melantik dirinya sebagai pemangku presiden, sejak perebutan kuasa tercetus sebulan lalu antara beliau dan Maduro.

“Tidak lama lagi, diplomat Kanada di Venezuela tidak akan diberikan akreditasi diplomatik di bawah rejim Maduro, dan visa mereka akan tamat,” kata Freeland.

“Oleh itu, kita tiada pilihan selain menghentikan operasi di Kedutaan Kanada ke Venezuela buat sementara waktu, berkuatkuasa serta-merta.”

Lebih daripada 50 negara kini mengiktiraf Guaido berbanding pemimpin berhaluan kiri Maduro, yang gagal membina ekonomi negara dan dipilih semula dalam pilihan raya yang penuh penyelewengan.

Tambah Freeland, Kanada juga sedang menilai status diplomat Venezuela yang dilantik oleh rejim Maduro ke Kanada. - AFP

Berita Harian X