Ahad, 2 Jun 2019 | 12:58pm
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Ubat kanser payudara baharu, tingkat kadar hayat

CHICAGO: Kajian klinikal antarabangsa menemui satu bentuk ubat yang mampu meningkatkan hayat wanita muda penghidap kanser payudara jenis biasa secara drastik, kata pengkaji semalam.

Hasil kajian yang dibentangkan di mesyuarat tahunan American Society of Clinical Oncology di Chicago menunjukkan bahawa penambahan sel-cycle inhibitor ribociclib meningkatkan kadar hayat kepada 70 peratus selepas tiga tahun setengah.

Kadar kematian adalah 29 peratus kurang berbanding ketika pesakit yang kesemuanya pra-menopause dan berusia di bawah 59 tahun mengambil placebo secara rawak.

Ketua pengarang, Sara Hurvitz memberitahu AFP, kajian itu memfokus kepada bentuk kanser payu dara yang dicetuskan oleh hormon estrogen, bentuk kanser yang dihidap dua pertiga dalam kalangan wanita lebih muda berbanding kes lain.

Secara amnya ia dirawat oleh terapi yang menyekat penghasilan hormon.

“Anda mendapat maklum balas yang lebih baik, penghapusan sel kanser yang lebih baik dengan menambah satu daripada sel-cycle inhibitors” selain terapi penyekat hormon,” kata Hurvitz

Ubat ini berfungsi menghalang aktiviti sel-sel kanser yang menghasilkan enzim.

Rawatan itu juga kurang toksik berbanding kemoterapi tradisional kerana ia lebih khusus menyasarkan sel kanser, sekali gus menghalang kemampuannya untuk membiak.

Dianggarkan 268,000 kes baru kanser payudara dijangka didiagnosis pada wanita Amerika Syarikat pada 2019, sementara bentuk lanjutan penyakit itu adalah punca kematian akibat kanser di kalangan wanita berusia 20 hingga 59 tahun. - AFP

Berita Harian X