Isnin, 13 Mei 2019 | 10:06pm
Doris Day. - Foto AFP
Doris Day. - Foto AFP

Ikon Hollywood, Doris Day meninggal dunia

LOS ANGELES: Ikon layar perak Amerika Syarikat (AS), Doris Day yang cukup terkenal dengan watak gadis manis serba sederhana, meninggal dunia hari ini.

Aktres itu berusia 97 tahun, kata yayasan miliknya dalam satu kenyataan kepada media AS.

Yayasan Haiwan Day Doris berkata, aktres yang juga aktivis haiwan itu mengalami radang paru-paru, meninggal dunia di kediamannya di Carmel Valley California, dikelilingi rakan dan ahli keluarga, lapor media.

Sepanjang bergelar anak seni, Day sering unggul sebagai pelakon pecah panggung Hollywood, menerusi penampilannya dalam filem muzikal, komedi, thriller suspen mahupun western.

Bintang jelita itu pernah membintangi lebih 40 filem sejak 1948 hingga 1968 antaranya ‘bedroom farce’ dan juga filem hit 1959 ‘Pillow Talk’ bersama Cary Grant, Rock Hudson dan James Garner.

Pakar filem terkenal, Molly Haskel pernah menggelarnya sebagai pelakon paling kurang dihargai yang pernah mewarnai pentas Hollywood.

Memandangkan beliau hanya pernah mendapat satu pencalonan Oscar untuk filem ‘Pillow Talk’, pengkritik filem dilihat kurang berminat terhadapnya.

Day pernah empat kali berkahwin, terkini kepada pengusaha restoran Barry Comden, dari 1976 hingga 1981.

Beliau mempunyai seorang anak bersama ejen dan penerbit, Marty Melcher, iaitu penerbit album, Terry Melcher.

Terry yang lama terlantar sakit meninggal dunia pada 2004. - AFP

Berita Harian X