Selasa, 23 April 2019 | 7:34am
PENYANYI Prince. - Foto AFP

Memoir mendiang Prince diterbit Oktober tahun ini

WASHINGTON : Memori penyanyi Prince, ‘The Beautiful Ones’ yang tidak sempat disiapkan sebelum ini akan diterbitkan pada Oktober nanti, tiga tahun selepas kematian mengejut penyanyi itu pada April 2016.

Penyanyi terkenal dengan jolokan ‘Kid from Minneapolis’ itu yang meninggal dunia pada usia 57 akibat terlebih dos ubat penahan sakit ‘fentanyl’, mengumumkan sebulan sebelum kematiannya bahawa beliau akan menerbitkan sebuah memoir untuk diterbitkan pada tahun 2017.

Penerbit Penguin Random House berkata, buku berkenaan mengandungi pelbagai foto yang tidak pernah dilihat, buku skrap serta kertas lirik, selain memoir ditulis sendiri oleh mendiang dan bakal menemui pembaca pada 29 Oktober.

“Projek ini bukan sekadar mengenang Prince tetapi hasil kerja asli mendiang yang penuh berisi visi dan wawasan beliau, suara, imej serta hadiah tidak ternilai dari penyanyi itu kepada seluruh dunia,” kata syarikat penerbitan itu.

Memoir berkenaan turut memuatkan kata-kata pendahuluan Dan Piepenbring yang bekerjasama dengan penyanyi berkenaan dalam pembikinan buku itu beberapa bulan sebelum Prince meninggal dunia.

Prince, antara figura paling terkenal dalam dunia muzik muncul sebagai sensasi dunia pada era 1980an selepas mempopularkan irama gabungan ‘soul’, jazz dan R&B dengan album ‘Purple Rain’ terbitan tahun 1984 dianggap antara album terbaik sepanjang zaman.

Dilahirkan dengan nama penuh Prince Rogers Nelson, beliau menjadi terkenal kerana keunikan tersendiri, termasuk menukar namanya kepada simbol cinta yang sukar disebut, mengumumkan konsert pada saat akhir dan enggan membenarkan wartawan mencatat nota atau merekod sebarang wawancara diadakan. - AFP

Berita Harian X