Jumaat, 5 April 2019 | 9:52am
JEFF Bezos dan MacKenzie Bezos. - Foto Reuters

Bekas isteri Jeff Bezos serah 75 peratus kepentingan Amazon

NEW YORK: Bekas isteri pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Amazon.com Inc, Jeff Bezos, Mackenzie Bezos akan menyerahkan 75 peratus daripada kepentingan mereka dan semua hak mengundi dalam syarikat kepada hartawan terbabit sebagai sebahagian daripada penyelesaian perceraian mereka.

MacKenzie Bezos turut melepaskan semua kepentingannya dalam akhbar Washington Post dan syarikat aeroangkasa Blue Origin, katanya dalam tweet.

Pengumuman itu turut menjelaskan bahawa Amazon tidak akan diganggu pertelingkahan membabitkan ahli lembaga pengarah yang sering membelenggu syarikat lain yang berdepan masalah keluarga.

“Gembira dapat menyerahkan semua kepentingan milik saya di Washington Post dan Blue Origin, dan 75 peratus saham Amazon kami,” kata MacKenzie Bezos dalam tweet itu.

MacKenzie bagaimanapun masih mewarisi kekayaan yang besar menerusi perjanjian itu.

Baki kepentingan beliau dalam Amazon kini bernilai kira-kira AS$36 bilion (RM146.9 bilion), angka yang lebih daripada nilai pasaran saham hampir 70 peratus komponen S&P 500. Ini termasuk syarikat seperti eBay Inc, Allstate Corp dan Twitter Inc.

Jumlah keseluruhan kepentingan pasangan itu sebanyak AS$143 bilion (RM583.8 bilion) menjadikan mereka manusia paling kaya di dunia.

Berita perceraian pasangan Bezos itu mengukuhkan lagi laporan sebuah akhbar tabloit mengenai dakwaan Bezos menjalin hubungan sulit dengan seorang bekas pembaca berita stesen televisyen, Lauren Sanchez. - Reuters

Berita Harian X