Selasa, 2 April 2019 | 4:32pm
NASA berkata, berikutan pemusnahan satelit India itu, risiko pertembungan dengan ISS meningkat kepada 44 peratus dalam tempoh 10 hari. -Foto Agensi

Kemusnahan satelit India hasilkan 400 serpihan, bahayakan ISS

WASHINGTON: Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Amerika Syarikat (NASA) menyifatkan pemusnahan satu daripada satelit India sebagai ‘perkara paling teruk’ yang menghasilkan 400 serpihan orbital seterusnya mewujudkan bahaya baharu kepada angkasawan di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).

Pentadbir NASA, Jim Bridenstine mengeluarkan kenyataan itu di hadapan kakitangannya, lima hari selepas India menembak jatuh sebuah satelit pengorbit rendah dalam satu ujian peluru berpandu untuk membuktikan ia antara kuasa maju dunia dalam bidang angkasa lepas.

Bridenstine menjelaskan, bukan semua kepingan cukup besar untuk dikesan.

“Apa yang kami kesan ketika ini ialah objek yang cukup besar untuk dikesan, kita bercakap mengenai serpihan berukuran 10 sentimeter atau lebih, kira-kira 60 kepingan sudah dikesan,” katanya.

Satelit India dimusnahkan pada altitud agak rendah iaitu 180 kilometer di bawah ISS dan kebanyakan satelit pada orbit. Namun katanya, 24 serpihan ‘berada di atas apogi ISS.’

“Ia perkara teruk, amat teruk untuk mencetuskan insiden yang menyebabkan serpihan di apogi menuju di atas ISS. Aktiviti seperti itu tidak bersesuaian dengan penerbangan angkasa lepas manusia akan datang.

“Ia sesuatu yang tidak boleh diterima dan NASA perlu menjelaskan impak yang diberi ke atas kami,” katanya.

Tentera AS mengesan objek di angkasa lepas untuk meramalkan risiko pertembungan ISS dan satelit. Ketika ini mereka mengesan 23,000 objek bersaiz lebih besar daripada 10sm.

Ia termasuk kira-kira 10,000 kepingan serpihan angkasa lepas, dengan 3,000 daripadanya terhasil akibat insiden tunggal iaitu ujian anti-satelit China pada 2007 sejauh 853 kilometer dari permukaan bumi.

Bridenstine berkata, berikutan ujian India itu, risiko pertembungan dengan ISS meningkat kepada 44 peratus dalam tempoh 10 hari.

Namun risiko itu akan berkurangan sejajar masa oleh kerana kebanyakan serpihan akan terbakar ketika memasuki atmosfera bumi. -AFP

Berita Harian X